Pendekatan Turun Padang Perkukuh Penyampaian Keperluan Rakyat Sarikei
SARIKEI: Pendekatan turun padang secara berterusan menjadi mekanisme penting dalam mengenal pasti keperluan sebenar masyarakat Sarikei, sekali gus memastikan isu di peringkat akar umbi dapat disalurkan kepada pihak berkaitan untuk tindakan lanjut.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato Sri Huang Tiong Sii, berkata pertemuan secara langsung dengan penduduk dan pemimpin komuniti membolehkan permasalahan setempat dikenal pasti dengan lebih tepat, selain membantu menentukan keutamaan pembangunan mengikut keperluan setiap kawasan.
Menurutnya Ahli Parlimen Sarikei itu, maklum balas yang diterima secara terus daripada masyarakat penting bagi memastikan perancangan pembangunan tidak hanya bergantung pada laporan, sebaliknya mengambil kira keadaan sebenar di lapangan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat 2026 di Dewan Sentral Sarikei, pada Khamis.
Dato Sri Huang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berkata, setiap pandangan dan aduan yang dikemukakan akan diberi perhatian, manakala isu yang berada di bawah bidang kuasa jabatan atau agensi tertentu akan disalurkan untuk tindakan lanjut.
Pendekatan itu turut memberi tumpuan kepada keperluan berkaitan kemudahan asas dan pembangunan setempat, termasuk memastikan penduduk di kawasan bandar serta luar bandar mendapat perhatian sewajarnya.
Beliau menegaskan komitmen untuk terus mendekati masyarakat bagi memastikan pelaksanaan pembangunan mengambil kira keperluan penduduk tanpa mengira kaum dan latar belakang.
Usaha berterusan itu juga bertujuan mengekalkan hubungan antara wakil rakyat dengan masyarakat, di samping memperkukuh komunikasi dua hala dalam mengenal pasti isu serta keutamaan pembangunan di Sarikei.-EDISI UKAS