SKS Mukah Medan Penyatuan Rakyat, Warisan Melanau & Interaksi Perkhidmatan Kerajaan
MUKAH: Peluang berurusan secara langsung dengan ketua jabatan, mendapatkan maklumat perkhidmatan kerajaan serta menikmati keunikan sajian tempatan antara tarikan utama Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Mukah.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, program itu bukan sekadar platform mendekatkan kerajaan dengan rakyat, malah membuka ruang kepada masyarakat untuk menyuarakan masalah dan mendapatkan penyelesaian secara terus daripada agensi berkaitan.
Menurut beliau, pegawai kanan dan ketua jabatan yang hadir memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan penjelasan mengenai perkhidmatan kerajaan, selain membolehkan isu tertentu ditangani dengan segera mengikut bidang kuasa agensi terlibat.
“Yang penting bagi kita ialah menyampaikan maklumat kepada rakyat. Mereka boleh bersemuka dengan pegawai kita, pegawai kanan dan ketua jabatan sekiranya mempunyai masalah.
“Mana yang dapat kita selesaikan dengan segera, kita selesaikan dengan segera,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan ‘Soft Launching Sarawak Kitchen’, di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, sajian dan resipi tempatan yang diketengahkan turut menjadi tarikan tersendiri SKS Mukah, sekali gus memperlihatkan keunikan makanan warisan masyarakat setempat yang sukar ditemukan di tempat lain.
Selain memberi ruang kepada orang ramai mengenali dengan lebih dekat perkhidmatan kerajaan, program itu turut menawarkan pelbagai tarikan kepada pengunjung, termasuk cabutan bertuah dengan hadiah utama sebuah Proton Saga.
Menyentuh mengenai persiapan sebelum kemuncaknya pada Sabtu, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar menambah, persiapan penganjuran berjalan lancar hasil kerjasama jawatankuasa pelaksana serta sokongan padu warga Mukah.
Turut serta, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Felicia Tan Ya Hua, Residen Bahagian Mukah Bujang Rahman Seli dan Ketua-Ketua Jabatan. -EDISI UKAS