SARIKEI: Penyelarasan antara jabatan dan agensi kerajaan terus menjadi pendekatan penting dalam memperkukuh pembangunan infrastruktur Sarikei, khususnya bagi memenuhi keperluan kemudahan asas penduduk.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi yang juga Ahli Parlimen Sarikei, Dato Sri Huang Tiong Sii berkata, kerjasama strategik antara wakil rakyat, jabatan dan agensi kerajaan penting bagi memastikan keperluan pembangunan setempat dikenal pasti serta diselaraskan mengikut bidang kuasa masing-masing.
Menurutnya, antara keutamaan pembangunan yang terus diberi perhatian termasuk peningkatan jalan raya, jambatan, sistem perparitan dan kemudahan asas lain yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.
Katanya, kerjasama dengan Majlis Daerah Sarikei (MDS), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) serta agensi berkaitan membolehkan perancangan projek dibuat berdasarkan keperluan sebenar di lapangan.
“Pembangunan memerlukan kerjasama semua pihak kerana setiap jabatan dan agensi mempunyai peranan tersendiri dalam memenuhi keperluan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat 2026 di Dewan Sentral Sarikei, pada Khamis.
Dalam usaha memenuhi keperluan pembangunan tersebut, beliau berkata, sokongan dan peruntukan kerajaan turut diusahakan melalui pelbagai saluran, termasuk Projek Transformasi Luar Bandar (RTP).
Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok itu, setiap projek perlu dirancang berdasarkan keutamaan serta keadaan setempat bagi memastikan kemudahan yang disediakan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk.
Tambahnya, komitmen berterusan semua pihak penting bagi memastikan pembangunan Sarikei dilaksanakan secara terancang dan selari dengan keperluan semasa masyarakat.-EDISI UKAS