SARIKEI: Peranan tuai rumah sebagai penghubung antara masyarakat rumah panjang dengan pihak berkaitan penting dalam memastikan aspirasi, kebajikan dan keperluan penduduk dikenal pasti serta disalurkan untuk perhatian dan tindakan sewajarnya.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato Sri Huang Tiong Sii berkata, kedudukan tuai rumah yang dekat dengan masyarakat membolehkan isu setempat dikenal pasti lebih awal, sekali gus memudahkan penyampaian keperluan penduduk kepada pihak berkaitan.
Menurutnya Ahli Parlimen Sarikei merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok itu, hubungan erat antara kepimpinan rumah panjang dengan penduduk menjadi asas penting dalam memperkukuh kerjasama serta memastikan setiap aspirasi masyarakat dapat disampaikan dengan berkesan.
“Tuai rumah bukan sekadar memimpin urusan di rumah panjang, tetapi turut memainkan peranan menyatukan masyarakat dan memastikan hubungan sesama penduduk sentiasa terpelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat 2026 di Dewan Sentral Sarikei, pada Khamis.
Katanya, komunikasi berkesan antara tuai rumah, masyarakat dan wakil rakyat amat penting bagi memastikan isu berkaitan kebajikan serta pembangunan komuniti mendapat perhatian sewajarnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa rumah panjang bukan sekadar tempat kediaman, malah menjadi pusat kehidupan bermasyarakat yang menyatukan penduduk melalui amalan adat, tradisi dan semangat kekeluargaan yang diwarisi sejak turun-temurun.
Sehubungan itu, beliau berharap kepimpinan tuai rumah terus diperkasakan agar mampu mendepani perubahan semasa tanpa mengetepikan adat, nilai kekeluargaan dan semangat kebersamaan yang menjadi identiti masyarakat Iban.
Tambahnya, kepimpinan yang kukuh di peringkat rumah panjang menjadi asas penting dalam mengekalkan keharmonian masyarakat serta menyokong usaha pembangunan di kawasan masing-masing.-EDISI UKAS