Sarawak Perkukuh Pembangunan Infra Berteraskan Kesihatan Menerusi WCDH 2026
KUCHING: Sarawak memperkukuh pendekatan pembangunan infrastruktur berteraskan kesihatan dan kesejahteraan masyarakat menerusi penganjuran World Congress & Exhibition on Design and Health (WCDH) Ke-15 2026 di Kuching.
Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Sarawak (Pembangunan Infrastruktur), Datuk Ir. Aidel Lariwoo berkata, WCDH 2026 bukan sekadar medan pertukaran ilmu, malah membuka ruang kepada pembentukan jaringan kerjasama dan perkongsian idea dalam memastikan pembangunan infrastruktur memberi manfaat langsung kepada masyarakat.
Menurutnya, pembangunan infrastruktur perlu mengambil kira aspek manusia, komuniti dan kualiti hidup, bukan hanya prestasi teknikal dan kejuruteraan.
“Apabila kita merancang dan membina infrastruktur, kita bukan sahaja perlu memikirkan prestasi kejuruteraan, tetapi juga manusia, komuniti dan kualiti hidup,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada WCDH 2026 di Pullman Hotel Kuching, pada Khamis.
Katanya, sistem pengangkutan, laluan pejalan kaki dan ruang awam yang dirancang dengan baik mampu menggalakkan mobiliti aktif, interaksi sosial serta aktiviti fizikal, manakala infrastruktur berdaya tahan penting dalam menghadapi risiko alam sekitar dan perubahan iklim.
Datuk Ir. Aidel turut menekankan kepentingan kerjasama rentas sektor melibatkan kerajaan, profesional, ahli akademik, industri dan komuniti dalam menangani cabaran pembangunan yang semakin kompleks.
“Tiada satu kementerian, agensi, profesion atau organisasi yang mampu menangani cabaran ini secara bersendirian. Kerjasama adalah amat penting,” ujarnya.
WCDH 2026 yang merupakan penganjuran pertama di Borneo menghimpunkan pakar, ahli akademik, profesional, pemimpin bandar serta pemain industri dari dalam dan luar negara,
Persidangan itu turut mengiktiraf 30 penerima anugerah dan tiga penerima Anugerah Kepimpinan Khas dalam bidang reka bentuk dan kesihatan.
Dalam pada itu, Datuk Ir. Aidel berharap persidangan tersebut dapat menghasilkan jaringan kerjasama berkekalan serta mencetuskan inovasi praktikal ke arah mewujudkan persekitaran yang lebih sihat dan berkualiti untuk masyarakat Sarawak.
Hadir sama, Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee, Pengasas International Academy of Design and Health, Prof. Dr Alan Dilani serta Presiden International Academy of Design and Health, Texas A&M University, Amerika Syarikat, Prof. Dr Ray Pentecost.-EDISI UKAS