RUBY Elite 2.0 Pacu Kecemerlangan Akademik Pelajar Samarahan
KUCHING: Program Aspirasi RUBY Elite 2.0 terus menjadi platform strategik bagi menyuntik motivasi dan memperkukuh kecemerlangan akademik pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) khususnya di daerah Samarahan.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, program berkenaan bukan sekadar memberi penekanan terhadap pencapaian akademik, malah membimbing pelajar dari Semester 1 menerusi strategi peperiksaan, kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT), disiplin diri, ketahanan emosi, kreativiti dan kemahiran digital.
Menurutnya, inisiatif itu menyasarkan lebih ramai pelajar Samarahan mencapai Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00, sekali gus berada di tahap kecemerlangan akademik.
“Dengan RUBY Elite, kita mahu memastikan lebih ramai anak Samarahan mencapai 4.00 penuh, bukan sekadar lulus, tetapi benar-benar berada di puncak kecemerlangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Aspirasi RUBY Elite 2.0 Peringkat Daerah Samarahan di Penview Hotel Kuching, pada Khamis.
Rubiah berkata, pendekatan berkenaan turut penting dalam mempersiapkan pelajar menghadapi perubahan dunia pendidikan dan pekerjaan yang semakin dipengaruhi perkembangan teknologi, automasi dan kecerdasan buatan (AI).
Katanya, RUBY Elite menyediakan ekosistem pembelajaran yang merangkumi bimbingan akademik, motivasi, kerjaya dan hala tuju masa depan, khususnya bagi membantu pelajar luar bandar mendapatkan akses kepada sokongan pendidikan berkualiti.
Beliau turut menyeru pelajar supaya yakin terhadap potensi diri, berani menetapkan impian besar dan terus berusaha mencapai kejayaan.
“Teruslah melangkah dengan berani, percaya pada potensi diri dan jangan takut untuk bermimpi besar kerana setiap kejayaan bermula dengan usaha, disiplin dan kesungguhan,” ujarnya.
Beliau juga berharap Aspirasi RUBY Elite 2.0 terus menjadi pemangkin peningkatan pencapaian akademik pelajar Samarahan serta membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda untuk melangkah lebih jauh dalam pendidikan dan kerjaya.-EDISI UKAS