Hospital Miri Perlu 3,000 Beg Darah Lagi Capai Sasaran 10,000
MIRI: Bank Darah Hospital Miri memerlukan tambahan 3,000 beg darah bagi mencapai sasaran pengumpulan 10,000 beg darah sepanjang tahun ini.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin, berkata sebanyak 7,000 beg darah telah berjaya dikumpulkan bagi tempoh Januari hingga 30 September 2026.
“Ini bermakna kita perlu mengumpulkan purata 1,000 beg darah sebulan dalam tempoh tiga bulan akan datang bagi mencapai sasaran 10,000 beg darah,” katanya ketika ditemui pada Kempen Derma Darah Tahunan Persatuan Hash House Harriers Miri di Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) Cawangan Miri, pada Sabtu.
Menurut beliau, walaupun bekalan darah di Hospital Miri ketika ini mencukupi, usaha mendapatkan penderma secara berterusan penting bagi memastikan bekalan daripada pelbagai kumpulan darah sentiasa tersedia, khususnya ketika kecemasan atau berlaku kekurangan kumpulan darah tertentu.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan lebih banyak pertubuhan sukarela tampil menganjurkan kempen derma darah dengan kerjasama PBSM Cawangan Miri dan Bank Darah Hospital Miri.
Dato Sri Lee turut menggalakkan masyarakat mendaftarkan diri sebagai penderma darah bagi membantu menyediakan pangkalan penderma daripada pelbagai kumpulan darah, termasuk kumpulan darah yang jarang ditemui.-EDISI UKAS