SKS Mukah Dekatkan Inisiatif Kerajaan Sarawak Kepada Rakyat
MUKAH: Pelbagai inisiatif Kerajaan Sarawak dalam aspek kebajikan dan pendidikan disampaikan kepada penerima sempena Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Mukah pada Sabtu.
Inisiatif berkenaan merangkumi Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), Free Tertiary Education Scheme (FTES) serta Yayasan Sarawak International Scholarship and Study Loan (YSISS).
Bagi SKAS, seramai 10 penerima menerima bantuan secara simbolik, terdiri daripada dua warga emas, lima isi rumah dan tiga individu bujang.
Sementara itu, 10 penerima FTES yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi termasuk Universiti Teknologi Sarawak (UTS), i-CATS University College dan Swinburne University of Technology Sarawak turut menerima penyampaian secara simbolik.
Dalam pada itu, seramai 23 pelajar menerima manfaat menerusi YSISS, dengan 10 daripada mereka hadir menerima penyampaian pada program berkenaan.
Kesemua penyampaian simbolik itu disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh kesejahteraan rakyat, memperluas akses kepada pendidikan serta membangunkan modal insan untuk masa hadapan.-EDISI UKAS