Premier Puji Kecekapan Perkhidmatan Awam Sarawak Tangani Aduan Rakyat
MUKAH: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg memuji kecekapan Perkhidmatan Awam Sarawak (SCS) dalam menangani aduan rakyat apabila berjaya mencatat kadar penyelesaian sebanyak 96.5 peratus.
Menurut beliau, pencapaian itu mencerminkan kualiti serta komitmen penjawat awam negeri dalam memastikan setiap maklum balas rakyat diberi perhatian dan tindakan sewajarnya.
Menurut beliau, prestasi cemerlang itu turut mendapat pengiktirafan tujuh bintang di peringkat kebangsaan serta perhatian Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang kagum dengan keupayaan Perkhidmatan Awam Sarawak menyelesaikan aduan rakyat.
“Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Setiausaha Kerajaan Sarawak dan seluruh perkhidmatan awam kerana mendapat pengiktirafan di peringkat kebangsaan dari sudut maklum balas dan penyelesaian aduan serta masalah rakyat.
“Mendapat tujuh bintang dan KSN telah terpegun dengan kehebatan Perkhidmatan Awam Sarawak yang telah dapat menyelesaikan masalah sebanyak 96.5 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Mukah pada Sabtu.
Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, pencapaian berkenaan turut membuktikan keupayaan penjawat awam dalam melaksanakan dasar kerajaan serta memastikan penyampaian perkhidmatan yang berkualiti kepada rakyat.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Setiausaha Kerajaan Sarawak, Residen Bahagian Mukah serta seluruh warga perkhidmatan awam negeri yang memainkan peranan penting sebagai pelaksana dasar kerajaan dan penghubung dengan rakyat serta ketua-ketua masyarakat.
“Ini membayangkan bahawa kualiti pegawai kita dan juga cara mereka bekerja untuk menyampaikan perkhidmatan yang baik.
“Apabila menerima maklum balas, mereka menyelesaikan masalah dan ini sudah tentu memberi manfaat kepada rakyat,” jelas beliau lagi. -EDISI UKAS