RM1.432 Bilion Perkukuh Jaringan Infrastruktur Bahagian Mukah
MUKAH: Jaringan perhubungan di Bahagian Mukah terus diperkasa menerusi peruntukan RM1.432 bilion di bawah Program Jalan Pesisir Sarawak, melibatkan penaiktarafan jalan sepanjang 131.95 kilometer dari Balingian hingga Tanjung Manis serta pembinaan tiga jambatan utama.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pembangunan infrastruktur yang menyeluruh penting dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi dan sosial, selain meningkatkan kesejahteraan rakyat di bahagian berkenaan.
“Pembangunan ekonomi dan sosial tidak akan dapat bergerak dengan baik tanpa infrastruktur yang sempurna. Jalan raya, jambatan, bekalan air dan elektrik semuanya penting dalam kehidupan harian rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Mukah 2026 yang dirasmikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Dataran Setia Raja Mukah pada Sabtu.
Dato Sri Fatimah menambah, peruntukan RM1.432 bilion itu turut melibatkan pembinaan Jambatan Batang Igan, Jambatan Batang Paloh dan Jambatan Muara Lassa.
Katanya, pembangunan berkenaan telah meningkatkan keterhubungan antara daerah di Bahagian Mukah, memudahkan pergerakan penduduk serta membuka ruang lebih luas kepada perkembangan aktiviti ekonomi.
Selain itu, lima seksyen jalan dikenal pasti untuk dinaik taraf dengan kos keseluruhan RM591.3 juta, antaranya Jalan Sungai Nai/Tanjung Gelang, Pulau Bruit; Jalan Oya By Pass dan Jalan Oya-Dalat; Jalan Kuala Balingian/Sempadan Mukah-Bintulu serta dua laluan memotong di Jalan Mukah-Matadeng dan Jalan Mukah-Oya.
Dalam aspek bekalan air, sehingga Ogos 2026, sebanyak 84.85 peratus populasi di Bahagian Mukah telah menikmati liputan bekalan air terawat, manakala beberapa projek di bawah Sarawak Water Supply Grid melibatkan perbelanjaan keseluruhan RM200.2 juta.
Bagi bekalan elektrik, projek Rural Electrification Scheme (RES) di Nanga Baoh, Dalat bernilai RM13.1 juta bakal memberi manfaat kepada 1,166 penduduk di sembilan rumah panjang.
Sementara itu, permohonan pemasangan elektrik di bawah program ALAF melibatkan 1,106 rumah dengan kos RM22.1 juta.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri-Menteri Kabinet Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Kabinet Sarawak dan Persekutuan, Ahli-Ahli Parlimen, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri, Residen Bahagian Mukah Bujang Rahman Seli serta tetamu kehormat yang lain.-EDISI UKAS