Pendidikan, Kemahiran Jadi Asas Pembangunan Modal Insan Mukah
MUKAH: Pembangunan modal insan di Bahagian Mukah terus diperkasa menerusi pendidikan dan latihan kemahiran bagi melahirkan generasi berkemahiran serta berupaya memenuhi keperluan industri masa hadapan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, institusi pendidikan milik Kerajaan Sarawak seperti CENTEXS Mukah dan Dalat memainkan peranan penting dalam menyediakan latihan kemahiran kepada anak tempatan.
“CENTEXS Mukah dan Dalat masing-masing menawarkan sebanyak 18 dan 16 program dalam bidang kemahiran, termasuk bidang minyak dan gas (Oil and Gas) serta Robot Operating System (ROS),” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Mukah 2026 yang dirasmikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Dataran Setia Raja Mukah pada Sabtu.
Menurut Dato Sri Fatimah, sehingga kini CENTEXS di Bahagian Mukah telah melahirkan seramai 3,139 pelajar berkemahiran sebagai persediaan membina kerjaya dan masa hadapan mereka.
Selain itu, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) Kampus Laila Taib Mukah merupakan satu-satunya kampus di Malaysia yang dilengkapi kemudahan dalam bidang teknologi marin dan maritim bagi memenuhi keperluan industri perkapalan di Daerah Tanjung Manis dan Bahagian Sibu.
Dalam aspek pendidikan awal kanak-kanak, Kerajaan Sarawak turut menyediakan Geran Tahunan Khas sebanyak RM5,000 setahun kepada TASKA dan TABIKA berdaftar.
Sebanyak 127 TASKA dan TABIKA di Bahagian Mukah telah mendapat manfaat daripada bantuan berkenaan bagi melaksanakan kerja pembaikan kecil serta menyediakan bahan pembelajaran untuk kanak-kanak.
Sementara itu, prestasi pelajar dalam ujian STEM turut mencatat peningkatan apabila kadar kelulusan meningkat daripada 76 peratus pada 2025 kepada 86 peratus pada 2026, manakala jumlah penyertaan bertambah daripada 859 kepada 892 pelajar.
Katanya, pencapaian itu mencerminkan potensi anak-anak di Bahagian Mukah untuk terus berkembang dan melibatkan diri dalam bidang sains dan teknologi.-EDISI UKAS