SADONG JAYA: Seramai 1,100 peserta dari dalam dan luar Sadong Jaya menyertai Sadong Jaya Coastal Run 2026 Edisi Kedua pada Sabtu, sekali gus menyerlahkan potensi kawasan pesisir itu sebagai destinasi rekreasi berteraskan komuniti dan alam sekitar.
Daripada jumlah tersebut, 807 peserta terdiri daripada komuniti Sadong Jaya dan pelajar sekolah, manakala 293 lagi datang dari pelbagai kawasan di Sarawak termasuk Kuching, Sibu, Miri dan Limbang.
Program anjuran SABERKAS Cawangan Sadong Jaya bersama Pusat Khidmat DUN Sadong Jaya itu mempertandingkan tiga kategori iaitu 10 kilometer (km) melibatkan 174 peserta, 5 km (334 peserta) dan 3 km (592 peserta).
Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Sarawak (Pembangunan Infrastruktur) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya, Datuk Ir. Aidel Lariwoo hadir merasmikan program serta menyempurnakan pelepasan peserta.
Pelepasan dilakukan secara berperingkat bermula kategori 10 km pada jam 6.30 pagi, diikuti 5 km pada 6.45 pagi dan 3 km pada 7 pagi bagi memastikan kelancaran acara serta keselamatan peserta.
Keunikan penganjuran kali ini turut diketengahkan menerusi laluan di sepanjang kawasan pesisir Sadong Jaya yang membolehkan peserta menikmati pemandangan tepi laut dan persekitaran semula jadi termasuk ekosistem paya bakau.
Pada masa sama, program itu membawa mesej pemeliharaan alam sekitar dan kelestarian dengan peserta serta komuniti setempat digalakkan bersama-sama memastikan kebersihan sepanjang laluan.
Selain acara larian, program turut dimeriahkan dengan senamrobik, sesi pemanasan badan dan cabutan bertuah.
Penganjuran yang menggabungkan elemen riadah, kesihatan, komuniti dan kelestarian alam sekitar itu turut mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa menerusi International World Green and Health Congress Ke-15 di Australia.
Pengiktirafan tersebut sekali gus memberi nilai tambah kepada usaha mempromosikan Sadong Jaya menerusi aktiviti berteraskan komuniti dan alam sekitar.
Turut hadir, Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee, Pegawai Daerah Asajaya, Jerry Zannuddin Bidin, Pengerusi Perbandaran Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), Kr Abang Ismawi Abang Ali dan Penolong Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kecil Sadong Jaya, Abdullah Sam Yusup. –EDISI UKAS