Kecemerlangan Pelajar Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang Diraikan
MIRI: Pencapaian cemerlang pelajar Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang diraikan menerusi penyampaian sijil dan pelbagai anugerah khas pada Majlis Apresiasi kolej berkenaan, di sini pada Jumaat.
Timbalan Datuk Bandar Miri, Ariffin Mohamad berkata, pengiktirafan tersebut merupakan penghargaan terhadap usaha, disiplin, kesungguhan dan komitmen pelajar dalam pelbagai bidang sepanjang tahun.
Menurut beliau, kecemerlangan pelajar perlu dilihat secara menyeluruh merangkumi akademik, sahsiah, kepimpinan, kokurikulum, sukan serta sumbangan kepada masyarakat.
“Anugerah ini merupakan satu amanah dan tanggungjawab untuk terus mengekalkan prestasi, memperbaiki kelemahan dan menjadi inspirasi kepada rakan-rakan yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis tersebut mewakili Timbalan Menteri Luar Negeri Malaysia merangkap Ahli Parlimen Sibuti, Dato Lukanisman Awang.
Dalam pada itu, Ariffin menyeru pihak sekolah, ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), komuniti dan pemimpin setempat agar terus memperkukuh kerjasama dalam menyokong pembangunan bakat serta menyediakan lebih banyak peluang kepada pelajar meneroka potensi diri.
Beliau turut mengingatkan pelajar yang belum menerima anugerah supaya tidak berputus asa, sebaliknya terus berusaha dan membina keyakinan diri kerana setiap individu mempunyai kelebihan, bakat serta masa untuk menyerlah yang berbeza.
Antara anugerah yang disampaikan ialah Anugerah Tokoh NILAM, Anugerah Pelajar Terbaik Sukan, Anugerah Pelajar Terbaik Kokurikulum, Anugerah Khas PIBG, Anugerah Sahsiah Terpuji, Anugerah Ikon Murid Cemerlang serta Anugerah Khas Dato Lukanisman.
Turut hadir Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Miri Sektor Pembangunan Murid, Grispin Sahah yang mewakili Pegawai Pendidikan Daerah Miri, Pengetua Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang Mohamad Effendi Panglima, Yang Dipertua PIBG Dickson Steward, Naib Pengerusi Alumni Mathew Silek, Pengerusi KSIBMajuin Chau serta alumni kolej Dr. Khairunnazren Ismail.- EDISI UKAS