RM200,000 Naik Taraf Sistem Perparitan Jalan Lianthus
MIRI: Peruntukan sebanyak RM200,000 melalui Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) disalurkan bagi menaik taraf dan menambah baik sistem perparitan di Jalan Lianthus, Kampung Luak, dalam usaha mengurangkan risiko banjir yang sering menjejaskan penduduk setempat.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, peruntukan tersebut akan digunakan untuk meningkatkan kecekapan sistem perparitan sedia ada di kawasan perumahan taman di Lorong Lianthus.
“Kerja-kerja ini diharap dapat meningkatkan kecekapan sistem perparitan sedia ada sekali gus mengurangkan masalah air bertakung dan risiko banjir, terutama ketika hujan lebat,” katanya ketika meninjau kawasan berkenaan pada Khamis.
Menurut Datuk Sebastian, penyelesaian jangka panjang bagi masalah tersebut adalah dengan membina sistem saliran baharu yang membolehkan air dari kawasan yang sering dilanda banjir disalurkan terus ke muara sungai sebelum mengalir ke laut.
Katanya, pendekatan itu dapat mengurangkan kebergantungan terhadap sistem perparitan sedia ada, sekali gus mengurangkan beban kapasiti saliran dan risiko banjir berlaku dengan lebih cepat.
Turut hadir, Ahli Majlis Bandaraya Miri Kaunselor Leslie Lau.- EDISI UKAS