Kuching Sasar Kembali Jadi Tuan Rumah WCF World Cat Show 2027
KUCHING: Kuching menyasarkan penganjuran semula World Cat Federation (WCF) World Cat Show pada 2027 menerusi usaha membida acara bertaraf antarabangsa itu bagi memperluas penyertaan komuniti pencinta dan penggiat kucing dari seluruh dunia.
Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Dato Hilmy Othman berkata, hasrat itu susulan maklum balas positif daripada WCF selepas perbincangan mengenai peluang penganjuran acara berkenaan di Kuching.
Menurut beliau, DBKU berharap dapat sekali lagi diberi kepercayaan menjadi tuan rumah acara tersebut, selepas kejayaan menganjurkan festival kucing bertaraf dunia tiga tahun lalu.
“Sekarang ini, insya-Allah, kalau diberi kepercayaan kepada kita sekali lagi, Kuching akan bergema dan dapat menjayakan ini secara lebih besar dan pelibatannya lebih luas daripada semua kompetitor-kompetitor daripada luar negara,” katanya
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada pelancaran Festival Kucing Antarabangsa Kuching (KICF) 2026 di Tebingan Sungai Kuching, pada Sabtu.
Dato Hilmy berkata, penganjuran semula acara itu berpotensi membuka ruang kepada penyertaan lebih besar, sekali gus memperkukuh kedudukan Kuching dalam kalendar acara kucing antarabangsa.
Sementara itu, bercakap mengenai KICF 2026, beliau berkata, acara berkenaan berdepan kekangan cuaca apabila keadaan jerebu menyebabkan beberapa aktiviti luar yang dirancang terpaksa dibatalkan dan hanya dapat dilaksanakan di dalam bangunan.
Menurut Dato Hilmy, pihak penganjur sebelum ini merancang untuk memperluas skala festival, termasuk meningkatkan penglibatan peminat dan pemelihara kucing menerusi acara perarakan kucing yang mendapat sambutan positif pada penganjuran tahun lalu.
Ujar beliau, walaupun berdepan kekangan itu, KICF 2026 tetap menerima penyertaan dari China, Brunei, Vietnam, Thailand, Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Festival yang berlangsung pada 3 dan 4 Oktober itu menampilkan dua program utama, iaitu WCF International Cat Show dan MY Cat Expo 2026 dengan WCF International Cat Show menghimpunkan kira-kira 200 ekor kucing daripada pelbagai baka, dengan pertandingan diadili tiga juri antarabangsa dari Belanda, Latvia dan Jerman.
Selain itu, Meow Fiesta turut menampilkan 41 reruai yang menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan, termasuk makanan dan minuman, produk haiwan peliharaan serta jualan lain.-EDISI UKAS