Empat Tapak Projek Pembangunan Sungai Asap Ditinjau
BELAGA: Empat tapak projek pembangunan di Sungai Asap, Belaga ditinjau bagi menilai keperluan kemudahan awam, sukan, pertanian dan pemeliharaan warisan untuk menyokong pembangunan kawasan serta kesejahteraan masyarakat setempat.
Tinjauan tersebut diketuai oleh Timbalan Menteri Digital merangkap Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon pada Jumaat.
Tapak yang ditinjau melibatkan Kompleks Sukan atau Stadium Sungai Asap, tapak Warisan Seni Budaya Sungai Asap, tapak pertanian serta Pejabat Daerah Kecil Sungai Asap.
Tinjauan itu turut bertujuan melihat keadaan semasa tapak serta kemudahan yang dirancang, di samping mengenal pasti keperluan pembangunan yang dapat memberi manfaat kepada penduduk setempat.
Kompleks Sukan atau Stadium Sungai Asap akan menyediakan kemudahan bagi aktiviti sukan dan riadah, manakala tapak pertanian akan menyokong kegiatan pertanian dalam kalangan komuniti setempat.
Dalam masa sama, tapak Warisan Seni Budaya Sungai Asap akan memberi tumpuan kepada usaha memelihara identiti, sejarah dan kebudayaan masyarakat setempat.
Pejabat Daerah Kecil Sungai Asap yang telah siap dibina pula akan memperkukuh penyampaian perkhidmatan pentadbiran kerajaan kepada penduduk di kawasan berkenaan.
Turut menyertai tinjauan ialah Pegawai Tadbir Menguasa Pejabat Daerah Kecil Sungai Asap Sylvester George serta Penolong Jurutera Bahagian, Jabatan Kerja Raya (JKR) Kapit Ir. Ts. Christopher Donovan Durin Ajoi.-EDISI UKAS