89 Peserta Bengkel KMKK Belaga Didedah Pelbagai Isu Pembangunan Komuniti
BINTULU: Seramai 89 peserta menyertai Bengkel Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Belaga 2026 yang memberi pendedahan mengenai pelbagai isu berkaitan pembangunan komuniti.
Bengkel anjuran Pejabat Daerah Belaga itu berlangsung di Promenade Hotel, Bintulu pada Jumaat dengan pengisian yang memberi tumpuan kepada keperluan serta isu yang berkaitan dengan masyarakat setempat termasuk kesihatan, kebajikan, pembangunan luar bandar, keusahawanan dan integriti kepimpinan.
Antara pengisian utama ialah taklimat mengenai pencegahan dan kawalan demam denggi menerusi Pengenalan COMBI yang disampaikan Anatasia Peter Dien dari Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu.
Peserta turut diberi pendedahan mengenai pelaksanaan projek pembangunan oleh Pegawai Tadbir Pejabat Residen Bahagian Kapit Sebastian Siba Belaja, selain taklimat Skim Bantuan Kebajikan oleh Dolly Chula Amos dan Florene Bayang dari Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Kapit.
Aspek pengukuhan ekonomi komuniti turut diketengahkan menerusi perkongsian bertajuk Membina Kejayaan Melalui Agropreneurship oleh Saging Mering dari Green Agro Enterprise, yang memberi tumpuan kepada peluang keusahawanan berasaskan pertanian.
Sementara itu, Residen Bahagian Kapit, Elvis Didit, menyampaikan pembentangan mengenai integriti dalam kepimpinan bagi menekankan kepentingan nilai amanah dan tanggungjawab dalam kalangan pemimpin masyarakat.
Selain sesi perkongsian ilmu, Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu turut mengadakan saringan kesihatan kepada peserta sebagai sebahagian daripada pengisian bengkel.
Bengkel tersebut turut dihadiri Pegawai Daerah Belaga Bidah Lujah serta barisan pemimpin masyarakat termasuk Temenggong Ajang Sirek dan beberapa orang Pemanca dari Daerah Belaga.-EDISI UKAS