Hari Malaysia: Menghayati Makna Pembentukan Sebuah Persekutuan
Hari Malaysia yang disambut pada 16 September setiap tahun merupakan salah satu tarikh paling penting dalam sejarah negara.
Jika Hari Kebangsaan pada 31 Ogos memperingati kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957, Hari Malaysia pula memperingati pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 yang melibatkan Persekutuan Tanah Melayu, Sarawak, Sabah dan Singapura. Singapura kemudiannya berpisah daripada Malaysia dan menjadi sebuah negara Merdeka serta berdaulat pada 9 Ogos 1965.
Oleh itu, Hari Malaysia bukan sekadar satu sambutan kenegaraan Ia juga merupakan peringatan tentang perjalanan sejarah, semangat perpaduan, dan kesediaan untuk membina masa depan bersama.
Rundingan sebagai asas Pembentukan
Pembentukan Malaysia bukanlah suatu proses yang mudah. Gagasan tersebut melalui perbincangan, rundingan dan penelitian yang panjang antara pihak-pihak yang terlibat.
Antara langkah penting dalam proses ini ialah penubuhan Suruhanjaya Cobbold pada tahun 1962 untuk meninjau pandangan penduduk Sarawak dan Borneo Utara, yang kini dikenali sebagai Sabah, terhadap cadangan pembentukan Malaysia.
Perjanjian Malaysia 1963, yang lazimnya dirujuk sebagai MA63, kemudiannya ditandatangani di London pada 9 Julai 1963 oleh wakil United Kingdom, Persekutuan Tanah Melayu, Borneo Utara, Sarawak dan Singapura. Perjanjian ini berkuat kuasa pada 16 September 1963, seiring dengan pembentukan Malaysia.
Sejarah ini memperlihatkan bahawa pembentukan Malaysia berasaskan rundingan dan kesepakatan, dengan Sarawak dan Sabah memainkan peranan penting sebagai rakan pembentuk Persekutuan. Hak, kepentingan dan keunikan kedua-duanya perlu sentiasa dihormati dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan serta semangat kesepakatan yang mendasari pembentukan negara.
Perpaduan adalah kekuatan
Hakikat bahawa Malaysia terdiri daripada wilayah yang luas, masyarakat berbilang kaum, agama, bahasa dan budaya menjadikan perpaduan sebagai kekuatan yang amat penting.
Di Sarawak, misalnya, masyarakat Iban, Bidayuh, Orang Ulu, Melayu, Melanau, Cina dan pelbagai komuniti lain telah hidup bersama dalam lingkungan sejarah dan budaya yang unik. Sabah juga mempunyai kepelbagaian masyarakat peribumi serta komuniti lain yang memperkayakan identiti Malaysia.
Kepelbagaian ini tidak seharusnya menjadi sumber perpecahan, sebaliknya merupakan khazanah yang menjadikan Malaysia istimewa.
Berkongsi masa depan yang sama
Dalam konteks ini, Hari Malaysia mengingatkan rakyat bahawa perpaduan tidak bermaksud menyeragamkan perbezaan.
Perpaduan yang sebenar ialah kemampuan rakyat yang berbeza latar belakang untuk hidup bersama, saling menghormati dan berkongsi masa depan yang sama.
Rukun Negara pula menjadi asas penting dalam membentuk masyarakat yang menghormati prinsip; Kepercayaan kepada Tuhan; Kesetiaan kepada Raja dan Negara; Keluhuran Perlembagaan; Kedaulatan Undang-undang; serta Kesopanan dan Kesusilaan.
Hari Malaysia juga sewajarnya menjadi ruang untuk kita menilai sejauh mana semangat federalisme benar-benar diterjemahkan dalam pembangunan sebuah negara bangsa.
Malaysia hanya akan menjadi lebih kukuh apabila pembangunan tidak tertumpu di sesuatu kawasan sahaja, tetapi dinikmati secara lebih seimbang oleh seluruh rakyat.
Jurang pembangunan antara wilayah, khususnya dari segi infrastruktur, pendidikan, kesihatan, jaringan pengangkutan, ekonomi digital dan peluang pekerjaan, perlu terus ditangani.
Hormati MA63
Bagi Sabah dan Sarawak, penghayatan Hari Malaysia juga berkait rapat dengan penghormatan terhadap MA63.
Pada tahun 1963, Sarawak dan Sabah telah menetapkan beberapa syarat dan terma yang dipersetujui oleh semua rakan kongsi pada ketika itu iaitu Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya sebelum Perjanjian Malaysia itu ditandatangani bersama dan diterima pakai sebagai Perjanjian Malaysia 1963 (dan disebut sebagai Malaysia Agreement 63) pada 16 September 1963.
Dua tahun selepas itu Singapura berpisah dan menjadi negara berdaulat pada 9 Ogos 1965.
Perkara ini bukan semata-mata persoalan politik, tetapi menyentuh asas sejarah pembentukan Malaysia.
Usaha memperkukuh kedudukan Sabah dan Sarawak dalam kerangka Persekutuan perlu dilaksanakan melalui dialog, rundingan dan persefahaman yang rasional dan matang.
Pendekatan yang berasaskan saling menghormati akan memperkukuh kepercayaan antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri serta antara wilayah-wilayah dalam negara.
Fahami sejarah & patriotisme
Generasi muda khususnya perlu diberikan pemahaman yang lebih mendalam tentang sejarah pembentukan Malaysia.
Mereka perlu mengetahui bahawa Malaysia lahir daripada proses rundingan dan kesepakatan, bukannya terbentuk secara kebetulan.
Dengan memahami sejarah, generasi akan lebih menghargai keamanan, kestabilan dan kemakmuran yang dinikmati hari ini.
Namun, patriotisme tidak seharusnya berhenti pada mengibarkan Jalur Gemilang atau menyertai perarakan sambutan Hari Malaysia.
Patriotisme yang lebih bermakna ialah apabila rakyat melaksanakan tanggungjawab sebagai warganegara dengan jujur, menghormati undang-undang, menjaga keharmonian masyarakat, menolak rasuah dan menyumbang kepada pembangunan negara.
Cinta kepada negara perlu diterjemahkan melalui tindakan dan sikap dalam kehidupan seharian.
Bina kemandirian ekonomi
Dalam dunia yang semakin kompleks, Malaysia juga perlu membina kemandirian ekonomi dan daya saing global.
Negara perlu melabur dalam pendidikan berkualiti, teknologi, TVET, inovasi, ekonomi digital, tenaga bersih dan pembangunan modal insan.
Pada masa yang sama, kekayaan alam semula jadi perlu diurus secara bertanggungjawab agar pembangunan hari ini tidak mengorbankan hak generasi akan datang.
Semangat kebersamaan
Semangat Hari Malaysia akhirnya ialah semangat kebersamaan. Kita mungkin berasal dari negeri yang berbeza, bertutur dalam bahasa yang berbeza (dengan loghat yang pelbagai), tetapi kita berkongsi sebuah tanah air.
Perbezaan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak tidak seharusnya menjadi tembok pemisah. Sebaliknya kepelbagaian itulah yang membentuk identiti Malaysia.
Maka, sambutan Hari Malaysia harus dijadikan wadah untuk kita memperbaharui ikrar bahawa negara ini akan terus dibina atas asas perpaduan, keadilan, saling menghormati dan semangat Persekutuan.
Malaysia bukan sekadar sebuah negara pada peta; Malaysia ialah sebuah cita-cita Bersama yang diwariska daripada generasi terdahulu kepada generasi hari ini dan generasi yang akan datang.
Penutup
Sempena Hari Malaysia, marilah kita menghayati sejarah pembentukannya, menghormati kesepakatan yang melahirkannya dan memperkukuh hubungan antara semua wilayah serta rakyatnya.
Dengan menjunjung Rukun Negara, menghormati Perlembagaan dan memelihara semangat MA63, kita bukan sahaja mengenang sejarah, tetapi turut membina masa depan Malaysia yang lebih bersatu, adil, makmur dan dihormati dunia.