SIDC, Universiti Sheffield Perkukuh Penyelidikan Tangani Ancaman ASF
KUCHING: Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC) menjalin kerjasama strategik dengan Universiti Sheffield, United Kingdom menerusi projek penyelidikan antarabangsa bagi memperkukuh usaha memahami, meramal dan mencegah penularan Demam Babi Afrika atau African Swine Fever (ASF) di Sarawak, Asia Tenggara dan United Kingdom.
Projek yang dibiayai oleh UK Research and Innovation (UKRI) dengan peruntukan keseluruhan £3.4 juta itu merupakan antara 18 projek penyelidikan yang diumumkan pada Rabu.
Diketuai Profesor Peter J. Dodd dari Universiti Sheffield, penyelidikan berkenaan turut melibatkan Universiti Liverpool, Pusat Kebangsaan Kejuruteraan Genetik dan Bioteknologi (BIOTEC), Thailand serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sarawak.
ASF merupakan penyakit virus yang sangat mudah berjangkit dalam kalangan babi ternakan dan babi hutan, namun tidak menjejaskan kesihatan manusia.
Bagaimanapun, penularannya boleh menyebabkan kematian ternakan secara besar-besaran, sekali gus memberi kesan ekonomi dan sosial kepada penternak serta komuniti yang bergantung kepada industri berkenaan.
Penyelidikan itu akan memberi tumpuan kepada kepelbagaian genetik virus, perkembangan dan corak penularannya, selain memperkukuh peranan SIDC sebagai pusat rujukan genomik serantau bagi ASF.
Hasil kajian turut dijangka menyokong pembangunan strategi vaksin SIDC serta penyelarasan langkah kawalan ASF di rantau ini bagi membantu penternak, pihak berkuasa dan pembuat dasar menangani ancaman penyakit tersebut dengan lebih berkesan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah SIDC, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, kejayaan memperoleh geran penyelidikan itu membuktikan keupayaan SIDC menjalinkan kerjasama strategik dengan institusi antarabangsa dalam menangani cabaran penyakit berjangkit.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SIDC, Profesor Madya Ivan K.S. Yap menjelaskan, projek berkenaan menggabungkan kepakaran penjujukan genomik, pengalaman penternak serta kepakaran SIDC dan DVS Sarawak bagi menghasilkan bukti saintifik untuk melindungi industri ternakan dan komuniti yang bergantung kepadanya.
Kerjasama rentas negara itu turut memperkukuh hubungan SIDC dengan Universiti Sheffield yang dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) pada November 2024, merangkumi penyelidikan bersama, pertukaran kakitangan dan pelajar serta pembangunan kapasiti dalam kawalan dan pencegahan penyakit berjangkit di Borneo.-EDISI UKAS