Peserta Kontinjen Teruja Meriahkan Perbarisan Hari Lahir Ke-80 TYT Sarawak
KUCHING: Semangat keterujaan dan kebanggaan jelas dirasai peserta kontinjen yang bakal menyertai Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa sempena Sambutan Hari Lahir Ke-80 Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak di Padang Merdeka di sini pada Sabtu ini.
Penyertaan dalam istiadat berkenaan bukan sahaja menjadi penghormatan kepada setiap kontinjen, malah membuka ruang untuk mempamerkan semangat kebersamaan, disiplin dan kerjasama antara pelbagai persatuan serta agensi yang terlibat.
Peserta Angkatan Kesenian dan Kebudayaan Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS), Mohd Amirul Rashid Abdullah berkata, penyertaan tahun ini amat bermakna kerana merupakan kali ketiga berturut-turut pihaknya mengambil bahagian dalam istiadat berkenaan.
“Perasaan memang sangat gembira kerana ini merupakan tahun ketiga pihak AKYBMS menyertai perbarisan dan kami berharap dapat mengekalkan kejuaraan untuk tahun ini, insya-Allah,” katanya.
Sementara itu, peserta Rumpun Silat Sarawak (RSS), Abdul Taib Yusup menyifatkan peluang menyertai istiadat berkenaan sebagai satu penghormatan, selain menjadi platform untuk mengetengahkan peranan dan sumbangan persatuan silat dari seluruh Sarawak.
“Alhamdulillah, kami dijemput sekali lagi pada tahun ini dan sudah semestinya kami berasa amat gembira serta bersyukur kerana dapat menjayakannya bersama-sama persatuan dan agensi lain yang turut terlibat dalam istiadat ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, peserta Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP), Siti Nurnaqibah Dandan Setia turut melahirkan rasa teruja kerana berpeluang berganding bahu dengan peserta daripada pelbagai agensi dalam menjayakan sambutan berkenaan.
Menurutnya, semangat berpasukan dan kerjasama antara kontinjen menjadi antara pengalaman paling bermakna sepanjang penyertaan dalam istiadat tersebut.
Ketiga-tiga peserta turut mengambil kesempatan menyampaikan ucapan selamat hari lahir ke-80 kepada TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Mereka mendoakan agar TYT dikurniakan kesihatan yang baik, dipanjangkan usia serta terus berbahagia bersama keluarga.
Pada masa sama, mereka berharap keadaan cuaca pada hari sambutan mengizinkan agar Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa dapat berlangsung dengan lancar dan meriah.-EDISI UKAS