Empat Unit AED Dipasang Di Taman Bulatan, Perkukuh Keselamatan Komuniti Miri
MIRI: Empat unit Automated External Defibrillator (AED) disediakan di Taman Bulatan, Miri bagi memperkukuh keselamatan serta kesiapsiagaan komuniti dalam menghadapi kejadian henti jantung mengejut.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata tindakan pantas amat penting ketika berdepan kejadian henti jantung mengejut.
“Sekiranya seseorang rebah, tidak memberi tindak balas dan tidak bernafas secara normal, tindakan segera perlu diambil dengan menghubungi talian kecemasan 999, memulakan CPR dan menggunakan AED sebaik sahaja tersedia mengikut arahan peranti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program AED Soft Launching & Handover Ceremony and Flag-Off of the End Polio Walk di Pavilion, Taman Bulatan, di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, beliau berkata AED merupakan peranti mudah alih yang mampu menganalisis rentak jantung mangsa dan memberikan kejutan elektrik sekiranya diperlukan bagi membantu memulihkan rentak jantung yang berkesan.
Beliau turut menekankan kepentingan latihan CPR dan penggunaan AED serta memastikan peranti berkenaan diselenggara dan mudah diakses di lokasi awam.
Sementara itu, Datuk Bandar Bandaraya Miri, Adam Yii Siew Sang berkata pemasangan empat unit AED tersebut merupakan langkah penting dalam meningkatkan keselamatan ruang awam di Miri.
“Risiko henti jantung mengejut boleh berlaku kepada sesiapa sahaja termasuk golongan muda ketika menjalankan aktiviti sukan dan fizikal,” ujarnya.-EDISI UKAS