Timbalan Premier Sarawak Tinjau Projek Pembangunan Di Lawas
LAWAS: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan mengadakan lawatan kerja ke beberapa projek pembangunan di sekitar Lawas pada Khamis bagi meninjau kemajuan pelaksanaan serta memastikan projek berkenaan memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Lawatan dimulakan dengan tinjauan ke projek pembinaan baharu surau dan naik taraf gelanggang gasing tradisional di Kampung Belangsat.
Beliau kemudian meneruskan lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Belipat bagi meninjau projek pembinaan bangunan baharu sekolah berkenaan.
Lawatan diteruskan ke projek pembinaan Tangki Aras Tinggi (HLT) Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) di Bukit Naga yang bakal memberi manfaat kepada kira-kira 6,000 penduduk di 11 kampung menerusi peningkatan kestabilan tekanan bekalan air bersih.
Beliau turut meninjau projek pembinaan kawasan tempat letak kenderaan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Punang.
Lawatan kerja tersebut mencerminkan komitmen berterusan dalam memastikan projek pembangunan dilaksanakan mengikut perancangan, sekali gus meningkatkan kemudahan asas dan kesejahteraan masyarakat di Lawas.-EDISI UKAS