Sarawak, Huawei Teroka Teknologi AI Untuk Ladang Padi Moden
KUCHING: Sarawak bakal bekerjasama dengan Huawei untuk meneroka penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan sistem pemantauan beresolusi tinggi bagi memodenkan pengurusan ladang serta meningkatkan kecekapan pengeluaran padi.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) dan Jabatan Pertanian Sarawak telah diarahkan untuk bekerjasama dengan Huawei dalam bidang berkenaan.
“Apabila ladang anda direka bentuk dalam struktur tertentu, anda boleh menguruskan ladang tersebut dan pada masa yang sama menguruskan benih yang digunakan untuk pengeluaran padi,” katanya ketika berucap dalam ‘Sarawak Rice Convention (SARICON) II’ pada Selasa.
Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, teknologi berkenaan membolehkan keadaan ladang dipantau secara berterusan termasuk pertumbuhan tanaman serta mengesan masalah seperti serangan perosak.
Menurutnya, penggunaan teknologi dengan keupayaan imej beresolusi tinggi turut membolehkan maklumat mengenai keadaan tanaman diperoleh dengan lebih terperinci.
Tambahnya, pengurusan juga bertambah mudah biarpun tidak berada di ladang di mana para petani boleh mengetahui situasi yang berlaku disebabkan keupayaan piksel yang tinggi untuk mendapatkan imej.
“Sudah tentu, kita boleh merujuk kepada AI untuk membantu dan teknologi tersebut turut disambungkan dengan teknologi AI.
“Bagi saya, jika teknologi-teknologi ini sudah tersedia, persoalannya ialah bagaimana kita mengaplikasikan teknologi tersebut, khususnya dalam pengeluaran padi kita,” ujar beliau. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: George Embie