Ubah Pemikiran Masyarakat Terhadap Kepentingan Pendidikan Masih Jadi Cabaran
SIBU: Mengubah pemikiran masyarakat terhadap kepentingan pendidikan masih menjadi cabaran yang perlu diberi perhatian,meskipun pelbagai inisiatif telah dilaksana bagi meningkatkan akses dan peluang pendidikan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, usaha mengubah perspektif masyarakat terhadap kepentingan pendidikan memerlukan komitmen berterusan semua pihak, selain penyediaan kemudahan seperti sekolah, kelas tambahan dan program tuisyen.
“Saya mengakui satu perkara yang masih belum berjaya saya lakukan ialah mengubah 'mindset' masyarakat, khususnya dari segi kepentingan pendidikan.
“Melaksanakan program seperti membuka sekolah dan menyediakan kelas tuisyen boleh dilakukan, tetapi apabila melibatkan perubahan pemikiran masyarakat, saya akui masih belum berjaya sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Town Hall Pendidikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di sini, pada Sabtu.
Tambah Datuk Dr Annuar, ibu bapa memainkan peranan penting dalam membentuk budaya pembelajaran anak-anak memandangkan mereka menghabiskan lebih banyak masa di rumah berbanding di sekolah.
Menurutnya, tempoh sekitar empat hingga lima jam yang diluangkan anak-anak bersama guru di sekolah adalah terhad, justeru tanggungjawab mendidik dan membimbing mereka tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada pihak sekolah.
“Guru membantu memberikan ilmu dan memperkukuh pengetahuan anak-anak, tetapi asas disiplin serta budaya belajar perlu bermula dari rumah.
“Saya sendiri pernah dididik supaya berada di meja belajar tepat pada pukul 6 petang dan ibu bapa memastikan semua anak-anak mematuhi rutin itu,” jelasnya lanjut.
Dalam ucapan sama, Datuk Dr Annuar turut menekankan kepentingan kerjasama erat antara ibu bapa, guru dan masyarakat dalam memperkasakan inisiatif pendidikan di DUN Nangka serta meningkatkan pencapaian pelajar.
“Kita tidak boleh lari daripada kepentingan ilmu dalam kehidupan. Kita perlu menguasai ilmu dunia dan akhirat bagi memastikan anak-anak mempunyai pengetahuan secukupnya untuk menghadapi masa depan,” tegas beliau.
Turut hadir ialah Pengerusi Sekretariat Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) dan Kemahiran Profesional DUN Nangka (STEMPRO) Ts. Abang Fairul Syarmil Abang Mohammad.-EDISI UKAS