Ribuan Pengunjung Meriahkan Konsert Rakyat SKS Samarahan 2026
KOTA SAMARAHAN: Ribuan pengunjung membanjiri Halaman Samarahan pada malam Ahad bagi menyaksikan Konsert Rakyat sempena Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Samarahan 2026 yang menghimpunkan barisan artis tempatan dan tanah air.
Konsert berkenaan menjadi antara tarikan utama program itu apabila masyarakat pelbagai lapisan usia hadir bersama keluarga dan rakan-rakan untuk menikmati persembahan secara langsung dalam suasana penuh meriah.
Kemeriahan semakin terasa apabila sorakan dan tepukan penonton mengiringi persembahan barisan artis yang tampil menghiburkan pengunjung dengan lagu popular masing-masing.
Antara artis yang memeriahkan pentas ialah Ezad Lazim, Bob Yusof, Yadee, Dayangku Fazillah, Karen Cinder, Adam Yaman, Zah Amirul dan Iwan Dasri.
Persembahan mereka turut diiringi Band D’Jaksa yang menampilkan susunan muzik bertenaga, sekali gus menghidupkan suasana sepanjang konsert berlangsung.
Pengacara tempatan, Fir Affandi turut menceriakan malam berkenaan menerusi celoteh bersahaja serta interaksi mesra bersama penonton.
Selain menyediakan hiburan kepada masyarakat, penganjuran konsert itu turut menjadi platform mengeratkan hubungan antara komuniti pelbagai kaum dan latar belakang, sekali gus mencerminkan keharmonian masyarakat majmuk di Sarawak.
Kehadiran pengunjung yang ramai juga memberi peluang kepada peniaga kecil di sekitar tapak program untuk menjana pendapatan menerusi aktiviti jualan makanan, minuman dan pelbagai produk tempatan.
Konsert Rakyat itu sekali gus melengkapkan pengisian SKS Bahagian Samarahan yang bukan sahaja mendekatkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat, malah menyediakan ruang interaksi sosial, hiburan dan peluang ekonomi kepada masyarakat setempat.
Turut hadir, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (Pembangunan Infrastruktur), Datuk Ir. Aidel Lariwoo serta Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee.
Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Felicia Tan Ya Hua dan Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang. -EDISI UKAS