17 Pasukan Termasuk Dari Indonesia Sertai Pertandingan Tarian Singa Di Tarat
SERIAN: Sebanyak 17 pasukan termasuk pasukan dari Indonesia menyertai Pertandingan Tarian Singa Tradisional Terbuka Piala Dato Sri Roland Sagah 2026 yang julung kali dianjurkan di kawasan Tarat, sekali gus memperkukuh usaha memelihara warisan budaya serta mencungkil bakat generasi muda.
Pertandingan yang berlangsung di Dewan Serbaguna Pala Baki pada Ahad itu menjadi platform mengetengahkan keunikan seni tarian singa, selain menggalakkan penyertaan golongan belia dalam aktiviti kebudayaan yang menekankan disiplin, kerjasama dan semangat berpasukan.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, penglibatan golongan muda dalam pertandingan seumpama itu membuktikan seni budaya tradisional terus mendapat tempat dalam kalangan generasi baharu.
Menurutnya, penganjuran pertandingan tersebut bukan sahaja memberi peluang kepada peserta mempamerkan bakat dan kemahiran, malah membolehkan masyarakat setempat mengenali serta menghargai keunikan warisan budaya masyarakat Cina.
Beliau turut menyambut baik penyertaan pasukan dari Indonesia yang mencerminkan potensi pertandingan berkenaan sebagai platform memperkukuh hubungan kebudayaan dan persahabatan merentas sempadan.
Dalam pada itu, Dato Sri Roland turut mengingatkan peserta, khususnya yang masih bersekolah, supaya memberikan keutamaan kepada pendidikan sebagai persediaan menghadapi cabaran masa depan.
Katanya, Sarawak memerlukan generasi muda yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing bagi memenuhi keperluan tenaga kerja serta menerajui pembangunan ekonomi dan inovasi negeri.
Sehubungan itu, beliau menjelaskan bahawa Kerajaan Sarawak menyediakan inisiatif pendidikan tinggi percuma di empat universiti milik negeri kepada anak Sarawak yang layak, selain bantuan elaun sara hidup kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah dalam kategori B40.
Menurutnya, penekanan turut diberikan kepada bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), di samping bidang kewangan, perakaunan serta psikologi bagi melahirkan tenaga mahir yang memenuhi keperluan pembangunan Sarawak.
Sementara itu, wakil jawatankuasa penganjur, Kapitan Wendy Low merakamkan penghargaan atas peruntukan sebanyak RM20,000 yang disalurkan oleh Dato Sri Roland bagi membantu menjayakan pertandingan berkenaan.
Beliau berkata, sokongan tersebut amat bermakna dalam memastikan kesinambungan warisan tarian singa, khususnya dengan menggalakkan penglibatan generasi muda dalam aktiviti kebudayaan.-EDISI UKAS