Gelaran juara U14 SAYFT 2026 jadi milik Axis Kids Academy Football
SIMANGGANG: Pasukan Axis Kids Academy Football dari Kuching muncul juara kategori Bawah 14 Tahun (U14) Kejohanan Bola Sepak Remaja Sri Aman (SAYFT) 2026 setelah mencatat kemenangan tipis terhadap pasukan tuan rumah iaitu Datus United dengan jaringan gol 1-0.
Gol pasukan juara telah pun dijaringkan oleh Iedil Zafuan Ramlee menerusi aksi final bagi kategori U14 kejohanan terbabit yang berlangsung di Padang Lama Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dekat Bandar Simanggang dan disaksikan oleh 200 penonton pada Ahad.
Kejuaraan ini sekali gus membolehkan Axis Kids Academy Football membawa pulang hadiah wang berjumlah RM3,000, piala kejohanan, pingat dan sijil penyertaan.
Manakala pasukan naib juara iaitu Datus United pula membawa pulang hadiah wang bernilai RM1,500, piala, pingat dan sijil penyertaan pada kejohahan terbabit.
Dua lagi pasukan iaitu Al Mateen Football Academy dan Cascara Junior Football Club pula masing-masing membawa pulang hadiah wang bernilai RM800, piala, pingat serta sijil penyertaan setelah muncul sebagai pemenang tempat ketiga.
Pada aksi semi final, pasukan Cascara Junior Football Club tumpas di tangan Axis Kids Academy Football dengan jaringan gol 2-0 manakala Al Mateen Football Academy pula kecundang di tangan pasukan Datus United dengan jaringan 1-0.
Upacara penyampaian hadiah Kategori U14 SAYFT 2026 terbabit telah pun disempurnakan oleh Pengerusi Pengelola SAYFT 2026 merangkap Pengerusi Kelab Datus United, Awang Putrayusrie Awang Redzuan.
Beliau dalam ucapannya memberitahu bahawa kejohanan ini bukan sekadar sebuah pertandingan untuk merebut kejuaraan atau mengejar kemenangan tetapi merupakan satu platform penting untuk mencungkil, mengasah dan mengembangkan bakat pemain-pemain muda dalam sukan bola sepak.
Awang Putrayusrie turut menyeru kepada pengurus pasukan dan jurulatih pasukan yang berentap dalam kejohanan ini agar terus memberi tunjuk ajar, motivasi dan galakkan kepada pemain agar mereka bukan sahaja berkembang sebagai atlet malah menjadi insan yang berdisiplin,bertanggungjawab dan mempunyai jati diri baik.
"Saya ingin merakam setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) di atas sumbangan tajaan demi untuk membangun sukan khusus kepada golongan remaja dan belia.
"Bagaimanapun, kepada pasukan yang tidak berjaya, teruskan usaha dan jadilah pemain yang cemerlang pada masa depan dan terus mengharumkan nama pasukan dan Sarawak," kata beliau.
Hadir sama wakil Presiden BPHB, Maslihah Tioh dan Pengurus Perhubungan Awam dan Hal Ehwal Korporat BPHB, Nursyahiba Abdul Rahim.
Adwa Wafi Hamzah, 14, daripada Pasukan Datus United diumum sebagai pemain terbaik kategori U14 SAYFT 2026 dan menerima hadiah wang sagu hati berjumlah RM100.
Terdahulu, ejohanan yang berlangsung selama empat hari iaitu pada 21, 22, 28 dan 29 November ini menawarkan jumlah hadiah keseluruhan bernilai RM12,200.
Kejohanan SAYFT ini akan disusuli dengan saingan bagi kategori Bawah 16 Tahun yang dijadual bermula pada 28 dan 29 November. -Edisi UKAS