KUCHING: Projek Northern Coastal Highway (NCH) menerima pengiktirafan menerusi Aspiring Sustainable Infrastructure Award pada Green & Geopark Excellence Awards (GAGA) 2026.
Pengiktirafan itu mencerminkan komitmen Agensi Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) dalam menerapkan aspek kelestarian sepanjang pelaksanaan projek berkenaan, bermula daripada perancangan, kejuruteraan sehingga pembinaan.
Dalam satu kenyataan media, RECODA memberitahu, pendekatan tersebut merangkumi langkah meminimumkan gangguan terhadap alam sekitar, mengoptimumkan penggunaan bahan sumber tempatan serta menyediakan rizab utiliti bagi menyokong keperluan tenaga boleh diperbaharui pada masa hadapan.
Pada masa sama, NCH dirancang untuk memperkukuh kesalinghubungan kawasan luar bandar serta memastikan daya tahan infrastruktur dalam jangka panjang menerusi reka bentuk yang mempunyai jangka hayat sehingga 100 tahun.
Bagi RECODA, pengiktirafan berkenaan bukan sekadar pencapaian sebuah projek infrastruktur utama, sebaliknya mencerminkan komitmen berterusan dalam membangunkan infrastruktur yang menghubungkan masyarakat, membuka peluang baharu kepada komuniti dan menyokong pertumbuhan wilayah secara bertanggungjawab serta mampan.
Pelaksanaan NCH juga dijangka menyumbang kepada usaha mewujudkan Sarawak yang lebih terhubung dan berdaya tahan, selain memberikan manfaat jangka panjang kepada generasi akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutif RECODA, Datuk Ismawi Ismuni turut hadir pada majlis GAGA 2026 berkenaan.-EDISI UKAS