SAINS & EY Malaysia Meterai MoU, Teroka Kerjasama Dalam Transformasi Digital, AI
KUCHING: Sarawak Information Systems Sdn. Bhd. (SAINS) dan Ernst & Young Consulting Sdn. Bhd. (EY Malaysia) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meneroka kerjasama dalam transformasi digital, kecerdasan buatan (AI) dan inovasi di Sarawak.
MoU berkenaan dimeterai sempena Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2026 di Kuching dan melibatkan usaha dalam penerapan AI, pembangunan keupayaan, inovasi serta tadbir urus merangkumi sektor awam dan ekosistem berkaitan kerajaan negeri.
Pertukaran MoU disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SAINS, Busiai Seman dan Ketua Bersama AI dan Data Perundingan EY ASEAN merangkap Ketua Perundingan Teknologi Malaysia dan Rakan Kongsi EY Malaysia, Adrian Chew, bagi pihak organisasi masing-masing.
Kerjasama itu menggabungkan pengalaman EY Malaysia dalam transformasi perniagaan, strategi digital, AI dan tadbir urus dengan kepakaran SAINS dalam sektor awam serta pembangunan penyelesaian digital di Sarawak.
Menurut Adrian, teknologi digital, data dan AI perlu disokong oleh pembangunan keupayaan, tadbir urus yang kukuh serta pelaksanaan perubahan yang berkesan bagi menghasilkan impak berpanjangan.
Beliau berkata, kerjasama dengan SAINS diharap dapat membantu organisasi mengambil langkah praktikal dalam menyokong aspirasi digital jangka panjang Sarawak.
Sementara itu, Busiai berkata Sarawak telah membina momentum kukuh dalam perjalanan pendigitalannya berlandaskan visi yang jelas serta komitmen terhadap inovasi.
Ujarnya lagi, SAINS berharap dapat meneroka peluang bersama EY Malaysia dalam pembangunan keupayaan, inovasi dan usaha memperkasa ekonomi digital negeri.
Kerjasama tersebut turut selari dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) ke arah menjadikan Sarawak sebuah ekonomi maju dan berpendapatan tinggi yang dipacu oleh data, inovasi dan teknologi.-EDISI UKAS