Enam Projek RTP Meradong Diluluskan, Peruntukan RM450,000
MERADONG: Enam projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong diluluskan dengan peruntukan keseluruhan RM450,000.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing menyempurnakan penyerahan tapak projek berkenaan pada Selasa.
Projek terbabit meliputi pembinaan baharu Bangunan Prasekolah SJK (C) Su Ming bernilai RM200,000 dan tempat letak kereta SK Tanah Putih bernilai RM50,000.
Empat lagi projek masing-masing bernilai RM50,000 melibatkan naik taraf dewan serbaguna dan bilik ICT SK Rentap, pagar SJK (C) Yong Kwong Meradong, pendawaian semula SJK (C) Yong Cheng serta pagar SJK (C) Tong Hua.
Kesemua projek di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sarikei itu dijangka meningkatkan kemudahan, keselamatan dan keselesaan warga sekolah. -EDISI UKAS