Perhatian Khusus Diperlukan Terhadap Sukan Sarawak
KUALA LUMPUR: Perhatian khusus kerajaan terhadap pembangunan sukan di Sarawak diperlukan menerusi penambahan pegawai Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS), penempatan pegawai di Sarawak serta penurunan kuasa yang bersesuaian.
Ahli Parlimen Betong Dato Dr Richard Rapu berkata, langkah tersebut penting bagi memastikan urusan pentadbiran badan sukan di Sarawak tidak terlalu tertumpu di Putrajaya, khususnya bagi persatuan sukan di kawasan luar bandar.
Menurutnya, kebanyakan persatuan sukan luar bandar seperti di Betong dan kawasan lain di Sarawak digerakkan oleh guru, belia serta penjawat awam secara sukarela, selain berdepan kekangan seperti ketiadaan pejabat tetap dan capaian internet yang kurang baik.
“Justeru, saya menggesa kerajaan agar memudahkan pematuhan melalui penganjuran ‘Klinik Pematuhan Mengikut Zon’, penyediaan templat perlembagaan dan kewangan, serta perkhidmatan digital berpusat.
“Saya turut mencadangkan penetapan ‘Service Level Agreement (SLA)‘ kelulusan yang jelas seperti 14 hingga 30 hari bagi mengelakkan persatuan kecil menunggu berbulan-bulan hanya untuk urusan pentadbiran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Pembangunan Sukan (Pindaan) 2026 bagi Bacaan Kali Yang Kedua di Dewan Rakyat pada Selasa.
Dalam perbahasan tersebut, Dato Dr Richard turut memohon penjelasan Menteri mengenai keperluan jumlah pegawai tambahan, penempatan di Sabah dan Sarawak serta Petunjuk Prestasi Utama (KPI) pelaksanaan akta bagi tempoh dua tahun akan datang.
Menurutnya, kejayaan pindaan undang-undang tersebut tidak seharusnya hanya dilihat berdasarkan jumlah persatuan yang disiasat atau dibatalkan, sebaliknya turut mengambil kira peningkatan kualiti persatuan, perlindungan atlet dan pembangunan bakat baharu di seluruh negara. -EDISI UKAS