KUCHING: Kepimpinan Jabatan Hutan Sarawak (JHS) perlu menyediakan ruang, sumber dan sokongan yang bersesuaian bagi memastikan inovasi yang dicetuskan warga jabatan dapat diterjemahkan kepada penyelesaian yang memberi manfaat nyata.
Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDeNR), Datu Abdullah Julaihi, berkata budaya inovasi memerlukan persekitaran kerja yang membolehkan pegawai mengemukakan pandangan dengan yakin, termasuk cadangan yang mencabar kebiasaan sedia ada.
Menurutnya, sokongan kepimpinan bukan sekadar menerima idea, sebaliknya perlu disusuli peluang untuk menguji cadangan, akses kepada kepakaran serta kemudahan yang bersesuaian.
“Apabila warga jabatan menunjukkan kesediaan untuk membawa pembaharuan, pihak pengurusan juga perlu bersedia membuka ruang bagi pelaksanaannya.
“Pasukan yang terlibat memerlukan masa, akses kepada kepakaran serta kemudahan yang bersesuaian untuk menguji cadangan dalam skop yang terkawal,” katanya ketika merasmikan Bulan Inovasi Jabatan Hutan Sarawak 2026 di sini pada Selasa.
Beliau berkata, hasil sesuatu percubaan mungkin berbeza daripada jangkaan awal, justeru pihak pengurusan perlu melihat kekangan dan hasil ujian secara terbuka bagi membolehkan organisasi belajar serta membuat keputusan yang lebih baik.
Katanya lagi, kepimpinan juga berperanan mengatasi halangan yang tidak dapat diselesaikan oleh pasukan inovasi sendiri, termasuk perkara yang melibatkan penyelarasan antara bahagian, tatacara kerja dan penentuan pihak yang bertanggungjawab terhadap pelaksanaan sesuatu penyelesaian.
“Idea yang telah mendapat sokongan memerlukan keputusan susulan yang jelas supaya pegawai dapat meneruskan pelaksanaannya,” katanya.
Datu Abdullah dalam pada itu turut menambah, pendekatan tersebut amat penting dalam konteks JHS kerana keadaan operasi di ibu pejabat, pejabat wilayah dan kawasan hutan berbeza dari segi kemudahan, jarak serta capaian komunikasi.
Sehubungan itu, katanya, penggunaan teknologi dan data dalam pengurusan sumber hutan perlu disertai kaedah pengesahan yang sesuai serta tanggungjawab yang jelas bagi memastikan maklumat yang digunakan boleh dipercayai.
Terdahulu, Pengarah Hutan Sarawak, Datu Hamden Mohammad ketika berucap dalam majlis yang sama berkata, JHS telah menghasilkan pelbagai inovasi yang bermula daripada masalah sebenar di lapangan dan kemudiannya diterjemahkan kepada penyelesaian yang lebih cekap.
Jelas beliau, antara inovasi tersebut termasuk Enterprise Forest Information Management System (EFIMS), REVLOG, Intelligence Timber Table, Intelligence Timber Calculator, EcoHub, Go Plant serta teknologi restorasi hutan seperti Seedball Blaster dan TerraSphere.
“Nilai inovasi tidak ditentukan oleh kecanggihan alat atau jumlah perbelanjaan semata-mata. Penggunaan yang konsisten dan hasil yang dapat diukur menentukan nilai sebenarnya,” katanya.
Tambahnya lagi, pencapaian inovasi JHS turut mendapat pelbagai pengiktirafan di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa, namun ukuran kejayaan yang lebih utama ialah sejauh mana inovasi tersebut terus digunakan, menyelesaikan masalah dan memberi manfaat kepada jabatan serta pihak berkepentingan.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Hutan (Konservasi Hutan dan Pembangunan) Happysupina Sait dan Ketua Unit Kawal Selia, Pematuhan dan Penguatkuasaan, Sarawak Multimedia Authority (SMA), Steward Sayong. -EDISI UKAS