Generasi Muda Luar Bandar Digesa Ceburi Pertanian Moden
LUNDU: Generasi muda khususnya di luar bandar digesa melihat sektor pertanian sebagai bidang masa depan yang mampu menawarkan peluang ekonomi lebih luas melalui penerapan teknologi, inovasi, mekanisasi dan pengurusan moden.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, sektor pertanian kini telah berubah dengan ketara dan tidak lagi wajar dilihat sebagai bidang yang bergantung kepada kaedah tradisional semata-mata.
Menurutnya, kawasan luar bandar mempunyai potensi besar untuk dibangunkan secara lebih produktif berikutan ketersediaan tanah dan sumber yang boleh dimanfaatkan bagi mewujudkan peluang ekonomi baharu kepada generasi muda.
“Pertanian hari ini memerlukan ilmu, teknologi, inovasi dan sistem pengurusan yang lebih tersusun supaya dapat berkembang secara mampan dan kompetitif.
“Generasi muda perlu diberi ruang dan pendedahan untuk menggabungkan pengalaman generasi terdahulu dengan teknologi serta pendekatan baharu dalam pembangunan pertanian,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Program Outreach Komuniti SALCRA Bau, di sini pada Selasa.
Menurut Billy, pendekatan berkenaan penting bagi membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada generasi muda luar bandar sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada penghijrahan ke bandar sebagai satu-satunya pilihan untuk membina masa depan.
Tambah beliau lagi, pembangunan sektor pertanian juga perlu dirancang dengan mengambil kira keperluan generasi akan datang, termasuk penyediaan teknologi dan kemudahan moden bagi meningkatkan produktiviti serta kecekapan.
Katanya, setiap projek pembangunan tanah perlu memastikan manfaatnya dapat dinikmati secara berterusan oleh pemilik tanah serta memberi impak kepada kemajuan masyarakat di kawasan berkenaan.
“Di sebalik setiap pembangunan, ada masyarakat yang bergantung kepada hasilnya. Sebab itu pembangunan tanah perlu dilihat bukan sahaja dari sudut projek, tetapi juga manfaat jangka panjang kepada komuniti,” katanya lagi.
Hadir sama, Pengurus Besar SALCRA Datu Joseph Blandoi. -EDISI UKAS