MPKS Pantau Tindakan Tangani Pembuangan Sampah Haram Di Taman Bukit Berangan
KOTA SAMARAHAN: Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) mengambil tindakan susulan terhadap aduan pembuangan sampah secara haram di sebuah tapak tanah persendirian di Taman Bukit Berangan, Kota Samarahan.
Tindakan itu susulan lawatan tapak dan pemantauan bersama pemilik tanah serta Pejabat Kesihatan Bahagian Samarahan bagi meninjau keadaan kawasan dan membincangkan langkah penyelesaian terhadap isu berkenaan.
Hasil lawatan dan perbincangan, pemilik tanah bersetuju mengambil beberapa tindakan termasuk menutup jalan lorong yang menjadi akses ke kawasan berkenaan bagi menghalang aktiviti pembuangan sampah.
Pemilik tanah turut akan memasang papan tanda amaran larangan membuang sampah serta melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan pengalihan sampah di lokasi terbabit.
MPKS akan menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan tindakan yang dipersetujui dilaksanakan dengan baik dalam tempoh ditetapkan.
Dalam pada itu, MPKS menyeru orang awam supaya tidak membuang sampah secara haram atau di lokasi yang tidak dibenarkan kerana perbuatan tersebut boleh menjejaskan kebersihan, kesihatan awam dan kualiti persekitaran.
Kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi memastikan isu pembuangan sampah dapat ditangani secara berkesan serta persekitaran di kawasan pentadbiran MPKS kekal bersih dan terpelihara. -EDISI UKAS