DARI BUMI KE ORBIT SARAWAK MEMBINA MASA DEPAN TANPA SEMPADAN
Ada kalanya sesebuah negeri perlu berhenti seketika untuk melihat sejauh mana perjalanan yang telah ditempuh dan, yang lebih penting, ke mana arah yang mahu dituju.
Ucapan YAB Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg pada 9th International Digital Economy Conference Sarawak (IDECS) 2026 hari ini memperlihatkan dengan jelas bahawa Sarawak sedang memasuki satu fasa baharu dalam perjalanan transformasi ekonominya.
Daripada sekadar membicarakan transformasi digital, Sarawak kini melihat ekonomi dalam ruang yang jauh lebih luas iaitu melibatkan kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, tenaga boleh diperbaharui, data, bakat digital, aeroangkasa dan akhirnya angkasa lepas.
Tema IDECS26, “Scaling Innovation Ecosystems for a Borderless Economy: Earth, Orbit & Beyond”, bukan sekadar slogan yang kedengaran futuristik. Ia menggambarkan satu cara berfikir.
Sarawak mahu membina keupayaan di bumi, menghubungkannya dengan dunia dan, pada masa yang sama, bersedia meneroka peluang yang berada di luar sempadan tradisional ekonomi.
DARIPADA PENGGUNA KEPADA INNOVATOR
Antara mesej paling jelas daripada ucapan Premier ialah Sarawak tidak mahu hanya menjadi pengguna kepada perkembangan teknologi yang dicipta di tempat lain.
Dalam ekonomi tanpa sempadan, Sarawak bukan sekadar mahu membuka pintu kepada pasaran luar. Sarawak mahu keluar melalui pintu itu.
Ini bermakna syarikat tempatan, penyelidik, universiti, usahawan dan anak-anak muda Sarawak perlu mempunyai keupayaan untuk menghasilkan inovasi produk, perkhidmatan, pengetahuan dan inovasi yang mampu bersaing di pasaran lebih luas.
Perubahan ini sangat penting.
Kerana nilai ekonomi masa depan bukan hanya terletak pada siapa yang memiliki sumber, tetapi pada siapa yang mampu menggabungkan sumber, ilmu, teknologi, data, bakat dan inovasi untuk menghasilkan nilai baharu.
YAB Premier menyifatkan hubungan antara pengetahuan, keupayaan, pelaburan dan pasaran sebagai elemen penting yang membolehkan sesuatu idea bergerak daripada sekadar eksperimen kepada nilai ekonomi. Inilah ekosistem inovasi yang mahu dibina.
AI BUKAN LAGI SEKADAR TEKNOLOGI
Dalam ucapan tersebut, AI muncul sebagai salah satu tonggak penting masa depan Sarawak.
Penubuhan Sarawak Artificial Intelligence Centre (SAIC), pembangunan Sarawak AI Blueprint 2026–2030 dan pelancaran Sarawak Sovereign AI Infrastructure Platform menunjukkan bahawa pendekatan Sarawak terhadap AI semakin bergerak daripada peringkat penggunaan kepada pembangunan keupayaan.
Lebih menarik, Sarawak juga merancang pembangunan Kuching AI Data Campus di Tanjung Embang, lengkap dengan kemudahan pengkomputeran AI, infrastruktur kuasa dan air serta nod kesalinghubungan digital. Ini memberi satu gambaran yang lebih besar. AI bukan sekadar aplikasi yang digunakan oleh individu.
AI sedang dibentuk sebagai sebahagian daripada infrastruktur ekonomi Sarawak.
Data pula tidak lagi dilihat hanya sebagai maklumat, tetapi sebagai aset strategik yang boleh membantu perancangan bandar, penyampaian perkhidmatan, pembangunan ekonomi dan pembuatan keputusan yang lebih baik.
SEMIKONDUKTOR DAN PERJALANAN KE RANTAIAN NILAI LEBIH TINGGI
Satu lagi bidang yang diberi penekanan ialah semikonduktor.
Sarawak telah mempunyai asas industri dalam sektor tersebut. Namun hala tuju yang digariskan adalah untuk bergerak ke aktiviti bernilai lebih tinggi seperti reka bentuk cip, kejuruteraan khusus, penyelidikan dan pembangunan bakat. Ini adalah perubahan penting dalam pemikiran ekonomi.
Daripada hanya berada dalam rantaian pengeluaran, Sarawak mahu meningkatkan kedudukannya dalam rantaian nilai teknologi.
Teknologi Gallium Nitride yang dibangunkan secara tempatan dan aplikasinya dalam sistem penukaran kuasa pintar menjadi salah satu contoh bagaimana kepakaran tempatan boleh berkembang kepada aplikasi yang lebih luas.
Apabila semikonduktor bertemu AI, tenaga, pembuatan maju dan aeroangkasa, maka terbentuklah ruang ekonomi baharu yang jauh lebih besar.
DARI BUMI KE ORBIT
Mungkin bahagian paling menarik dalam visi yang diketengahkan Premier ialah aspirasi Sarawak untuk membangunkan nanosatelit pertama Sarawak menjelang 2030 menggunakan teknologi CubeSat.
Namun, perkara paling penting bukanlah sekadar kemampuan meletakkan sebuah satelit di orbit. Nilai sebenar terletak pada data yang boleh dibawa pulang kepada bumi.
Data daripada satelit berpotensi menyokong pemantauan alam sekitar, pertanian, perhutanan, pengurusan sumber, tindak balas bencana dan perancangan pembangunan.
Di sinilah kita dapat memahami maksud sebenar “Earth, Orbit & Beyond”. Sarawak tidak melihat angkasa sebagai sesuatu yang terpisah daripada kehidupan rakyat.
Sebaliknya, teknologi di orbit akhirnya perlu kembali memberi nilai kepada manusia di bumi. Teknologi boleh pergi ke angkasa, tetapi manfaatnya mesti kembali kepada rakyat. Itulah falsafah yang tersirat dalam gagasan tersebut.
PELABURAN TERBESAR IALAH MANUSIA
Namun, di sebalik semua perancangan besar ini, terdapat satu perkara yang tidak boleh digantikan oleh teknologi manusia.
Premier menegaskan bahawa nilai infrastruktur dan pelaburan akhirnya bergantung kepada pengetahuan, kemahiran dan kepakaran yang terdapat di Sarawak.
Sebab itu pendidikan menjadi sebahagian penting daripada agenda ekonomi masa depan.
Pelaksanaan Free Tertiary Education Scheme yang bermula tahun ini dan merangkumi 64 program ijazah sarjana muda merupakan antara usaha membangunkan modal insan yang diperlukan untuk masa depan Sarawak.
Dalam dunia yang dipacu AI, semikonduktor dan aeroangkasa, anak-anak muda tidak cukup sekadar tahu menggunakan teknologi.
Mereka perlu mampu berfikir secara kritikal, menyesuaikan diri, menyelesaikan masalah dan menggunakan teknologi secara kreatif serta bertanggungjawab.
Hubungan yang lebih erat antara universiti, institusi penyelidikan dan industri juga penting supaya ilmu tidak berhenti di bilik kuliah atau makmal.
Ilmu perlu diterjemahkan menjadi inovasi. Inovasi perlu diterjemahkan menjadi produk.
Produk perlu menemui pasaran. Dan pasaran akhirnya mencipta nilai serta peluang pekerjaan untuk rakyat.
SARAWAK YANG BERANI MELIHAT LEBIH JAUH
Ucapan Premier di IDECS26 sebenarnya membawa satu mesej yang lebih besar daripada teknologi.
Ia tentang keberanian untuk melihat lebih jauh daripada keadaan hari ini.
Tiada siapa boleh mengetahui dengan tepat teknologi atau industri apakah yang akan menjadi dominan pada masa hadapan. Namun sebuah negeri boleh membuat persediaan. Membina bakat, nfrastruktur , institusi dan jaringan untuk keupayaan penyelidikan. Dan yang paling penting, membina keberanian untuk mencuba.
Inilah yang dimaksudkan dengan bergerak melampaui ufuk masa kini.
Bukan sekadar bermimpi tentang masa depan, tetapi menyediakan keupayaan supaya apabila peluang baharu muncul, Sarawak sudah bersedia untuk merebutnya.
DARIPADA SARAWAK UNTUK DUNIA
IDECS yang bermula dengan perbincangan mengenai ekonomi digital kini telah berkembang kepada perbincangan tentang ekonomi, teknologi dan inovasi yang merentasi sempadan bumi. Tahun hadapan, IDECS akan memasuki edisi ke-10 dan Sarawak pula bakal menjadi tuan rumah WITSA Global AI Summit 2027 di Kuching.
Ini sekali lagi menunjukkan bagaimana Sarawak sedang meletakkan dirinya dalam jaringan perbincangan teknologi dan inovasi antarabangsa.
Namun, matlamat akhirnya tetap sama membawa manfaat kepada rakyat Sarawak.
Daripada AI kepada semikonduktor. Daripada tenaga kepada data. Daripada universiti kepada industri. Daripada bumi kepada orbit.
Kesemuanya perlu bersambung dalam satu ekosistem yang menghasilkan nilai.
Kerana masa depan Sarawak bukan hanya tentang apa yang dimiliki hari ini. Ia tentang apa yang berani dibina untuk esok. Dan mungkin itulah inti pati paling besar daripada ucapan Premier di IDECS26: Sarawak tidak mahu sekadar melihat dunia berubah.
Sarawak mahu mempunyai keupayaan untuk berubah bersama dunia — dan pada masa yang sama, menjadi sebahagian daripada kuasa yang mencipta perubahan itu sendiri.
Dari bumi, kita membina asas. Dari ilmu, kita mencipta inovasi. Dari inovasi, kita membuka pasaran. Dan dari situ, Sarawak bersedia melangkah lebih jauh ke Orbit dan Beyond.