Australia-Sarawak Perkukuh Kerjasama Tenaga Bersih, Pendidikan & Pelaburan
KUCHING: Australia melihat Sarawak sebagai rakan strategik dalam memperluas kerjasama dua hala meliputi peralihan tenaga boleh diperbaharui, pembangunan bakat masa depan, pendidikan serta peluang perdagangan dan pelaburan.
Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Danielle Heinecke berkata, kerjasama tersebut turut memberi tumpuan kepada penerokaan teknologi dan kepakaran baharu bagi menyokong agenda pembangunan Sarawak menuju 2030.
Menurut beliau, antara bidang yang sedang diterokai ialah penggunaan teknologi penyimpanan tenaga termasuk sistem ‘pumped hydro’, selain kerjasama teknikal bersama Sarawak Energy dalam menyokong peralihan tenaga boleh diperbaharui.
“Kami telah bekerjasama rapat untuk melihat bagaimana Sarawak boleh memperluas peralihan tenaga boleh diperbaharuinya menggunakan pumped hydro, selain berkongsi kepakaran teknikal,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, di Kompleks Satria Pertiwi di sini, pada Khamis.
Heinecke berkata, bidang pendidikan juga kekal sebagai komponen penting dalam hubungan Australia-Sarawak, khususnya melalui kerjasama dengan universiti Australia yang beroperasi di Sarawak seperti Universiti Teknologi Swinburne Sarawak dan Universiti Curtin Malaysia.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu bahawa kerjasama penyelidikan antara Swinburne di Australia dan Malaysia ketika ini turut memberi tumpuan kepada sektor masa depan termasuk tenaga dan teknologi baharu.
Katanya, terdapat ruang lebih luas untuk kedua-dua pihak berkongsi kepakaran serta mencari penyelesaian bersama terhadap cabaran dalam sektor berimpak tinggi.
Selain tenaga dan pendidikan, Heinecke berkata Australia turut berminat memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan dengan Sarawak, termasuk menarik lebih banyak syarikat Australia untuk meneroka peluang dalam sektor tenaga, pelabuhan dan infrastruktur.
“Kami juga berbincang mengenai perdagangan dan pelaburan serta bagaimana untuk membawa lebih banyak syarikat Australia melabur di Sarawak, termasuk dalam sektor tenaga, peralihan industri, pelabuhan dan infrastruktur,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau berkata kerjasama universiti turut berpotensi diperluas kepada penggunaan teknologi bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan, termasuk penggunaan dron untuk menghantar peralatan perubatan serta mengoptimumkan penggunaan sumber.
Menurut Heinecke, perkembangan tersebut mencerminkan potensi besar hubungan Australia-Sarawak yang bukan sahaja tertumpu kepada pendidikan, malah merangkumi sektor strategik yang menyokong pertumbuhan ekonomi dan pembangunan mampan. -EDISI UKAS