Kerajaan Terus Perkasa Pekebun Kecil Sawit Melalui Insentif Produktiviti
KUALA LUMPUR: Kerajaan terus komited memperkasa kebajikan pekebun kecil persendirian (PKP) termasuk di Sarawak menerusi pelbagai insentif produktiviti dan sokongan input pertanian secara berterusan bagi meningkatkan hasil serta pendapatan mereka.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, antara inisiatif yang disediakan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13) ialah Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit 2.0 (TSPKS 2.0).
Menurutnya, skim berkenaan membantu pekebun kecil menggantikan pokok sawit tua dan tidak produktif, termasuk melalui pembekalan anak benih sawit berkualiti, baja, racun serta peralatan bagi penyelenggaraan kebun dan kawalan serangan Ganoderma.
“Bagi pekebun kecil yang aktif mengusahakan kebun matang dan mematuhi Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), kerajaan melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) turut menyediakan sokongan insentif secara berterusan.
“Ini termasuk menanggung keseluruhan kos audit pensijilan MSPO, latihan Amalan Pertanian Baik (GAP), khidmat nasihat teknikal pembajaan berhemah melalui Kelompok Sawit Mampan (SPOC) serta agihan insentif fizikal seperti rak penyimpanan bahan kimia dan peralatan perlindungan diri (PPE) kepada PKP yang layak,” katanya ketika menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Jelasnya, kerajaan pada masa ini telah dan sedang menyediakan insentif produktiviti secara berterusan kepada pekebun kecil persendirian dan akan terus memperkasakannya.-EDISI UKAS