Sarawak Pemain Strategik Bahan Api Hijau Perkapalan
KUCHING: Sarawak berpotensi menjadi pemain strategik dalam pembangunan rantaian bekalan bahan api hijau bagi industri perkapalan serantau, disokong kekuatan negeri dalam industri kimia dan bahan api serta kedudukannya dalam perdagangan serantau.
‘Second Secretary (Political-Economic)’, Suruhanjaya Tinggi Australia, Lachlan McPhee berkata, Sarawak mempunyai kelebihan untuk menyumbang kepada pembangunan ekosistem bahan api rendah karbon yang diperlukan industri perkapalan pada masa hadapan.
Katanya, kekuatan industri bahan kimia dan bahan api Sarawak, digabungkan dengan kedudukan Malaysia sebagai hab ‘transshipment’ serantau serta kepakaran Australia dalam pengeluaran bahan api hijau dan kawal selia perkapalan, mewujudkan ruang kerjasama yang besar.
“Kami melihat peluang sebenar untuk kerjasama antara Australia, Sarawak dan Malaysia dalam rantaian bekalan bahan api hijau untuk perkapalan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, di Kompleks Satria Pertiwi di sini, pada Khamis.
Menurut McPhee, Australia dan Malaysia telah beberapa tahun meneroka pembangunan ekosistem bahan api rendah karbon bagi menyokong keperluan industri perkapalan yang semakin beralih kepada sumber tenaga lebih bersih.
Katanya, kerjasama itu kini turut diperluas dengan melihat peranan yang boleh dimainkan Sarawak dalam rantaian tersebut.
“Kami telah berbincang dengan Malaysia dan kini Sarawak mengenai bagaimana untuk membangunkan ekosistem bahan api rendah karbon bagi perkapalan hijau, dengan melihat apa yang diperlukan industri perkapalan pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata usaha berkenaan turut mendapat momentum menerusi pelancaran ‘Green Bunkering Regulatory Roadmap’ oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada Malaysia Maritime Week baru-baru ini.
Katanya, pembangunan rangka kerja kawal selia tersebut penting bagi mewujudkan ekosistem yang menyokong penggunaan dan pembekalan bahan api hijau dalam sektor perkapalan.
Dalam pada itu, McPhee berkata Australia turut mempunyai kepakaran dalam pengeluaran bahan api hijau, kawal selia laluan dan operasi perkapalan serta pelbagai aspek teknikal lain yang boleh dikongsi bersama Malaysia dan Sarawak.
“Dengan industri kimia dan bahan api Sarawak yang sangat maju, kedudukan Malaysia dalam ‘transshipment’ serantau dan kepakaran Australia dalam pengeluaran bahan api hijau, kita mempunyai asas yang kukuh untuk membangunkan rantaian bekalan ini,” katanya lagi. -EDISI UKAS