Sarawak Pacu Industri Petrokimia Berasaskan Ekonomi Kitaran
BANGKOK: Sarawak mahu pembangunan industri petrokimia negeri beralih kepada pendekatan ekonomi kitaran dengan menghasilkan produk bernilai lebih tinggi serta mengurangkan jejak karbon menerusi penggunaan teknologi dan sumber secara lebih cekap.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan pembangunan industri petrokimia negeri terus seiring dengan agenda penyahkarbonan.
Menurut beliau, antara peluang yang sedang diteroka ialah pembangunan produk hiliran berasaskan gas di Bintulu, termasuk penggunaan teknologi yang membolehkan karbon dioksida dimanfaatkan sebagai bahan suapan dalam penghasilan produk petrokimia.
“Ini mengenai usaha bergerak ke atas rantaian nilai, termasuk bahan untuk pakaian dan kaedah mengitar semula produk yang dihasilkan daripada gas,” katanya ketika berucap pada Asia Refining & Petrochemicals Tech Forum (ASIA-TECH) 2026 di sini pada Rabu.
Datuk Dr Hazland berkata, pendekatan berkenaan membolehkan sumber gas dan tenaga rendah karbon Sarawak dimanfaatkan untuk menghasilkan produk hiliran seperti bahan asas poliester, pembungkusan dan tekstil, sekali gus mewujudkan lebih banyak nilai ekonomi serta peluang pekerjaan berkemahiran.
Katanya, HighChem turut mempunyai memorandum persefahaman (MoU) bersama Sarawak Petchem bagi cadangan pembangunan loji syngas kepada ethylene glycol di Taman Perindustrian Petrokimia Bintulu.
“HighChem turut mencadangkan Sarawak sebagai lokasi perintis bagi teknologi yang menukarkan karbon dioksida kepada paraxylene, iaitu bahan asas dalam penghasilan poliester,” katanya.
Dalam pada itu, Sarawak sedang meneroka pelaburan sekitar AS$1 bilion di Bintulu bagi pembangunan produk hiliran berasaskan gas menerusi perbincangan bersama Indorama, HighChem dan Sarawak Petchem.
Datuk Dr Hazland berkata, kerjasama strategik itu turut memberi penekanan kepada pemindahan teknologi dan kemahiran kepada rakyat Sarawak bagi menyokong pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam sektor berkenaan.
Beliau berkata, Sarawak juga meneroka pembangunan bahan api penerbangan mampan (SAF), metanol rendah karbon, ammonia, urea dan monoethylene glycol (MEG) sebagai sebahagian daripada usaha memperluas industri bahan api dan petrokimia yang lebih lestari.
Bagi pembangunan SAF, katanya, beberapa kaedah pengeluaran sedang dinilai termasuk Fischer-Tropsch, Methanol-to-Jet dan HEFA, dengan sumber seperti biojisim dan bahan daripada efluen kilang kelapa sawit (POME) turut dikaji.
Menurutnya, kejayaan pelaksanaan inisiatif berkenaan bergantung kepada kebolehlaksanaan teknikal, kos pengeluaran yang kompetitif, permintaan pasaran serta kekuatan kerjasama antara pemain industri.
ASIA-TECH 2026 yang berlangsung pada 7 hingga 8 Oktober di Bangkok menghimpunkan pemimpin industri, pengeluar petrokimia, pemain sektor tenaga dan penyedia teknologi bagi membincangkan transformasi sektor hiliran, penyahkarbonan, bahan api rendah karbon, ekonomi kitaran serta pengurusan karbon.
Penyertaan Sarawak dalam forum itu memperkukuh usaha negeri memperluas jaringan dengan pemain industri antarabangsa selain mengetengahkan peluang pelaburan dalam pembangunan industri hiliran yang lebih bernilai tinggi dan rendah karbon.- EDISI UKAS