10,000 Rakyat Dijangka Banjiri Padang Merdeka Sempena Hari Lahir TYT Sarawak
KUCHING: Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa sempena Sambutan Hari Lahir ke-80 Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak dijangka menghimpunkan sehingga 10,000 orang di Padang Merdeka di sini pada Sabtu ini.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi sambutan berkenaan, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, persiapan istiadat tersebut berada pada tahap terbaik berdasarkan raptai penuh yang berlangsung pada Khamis.
Menurut beliau, istiadat itu bukan sekadar acara rasmi memperingati ulang tahun kelahiran TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak, malah menjadi wadah menghimpunkan rakyat pelbagai kaum, agama dan latar belakang dalam semangat perpaduan.
“Berdasarkan raptai yang kita sama-sama saksikan tadi, nampaknya persediaan kita begitu rapi, mantap dan insyaAllah, ia akan berjalan dengan lancar.
“Diharapkan keadaan cuaca juga memihak kepada kita supaya sambutan rasmi pada Sabtu ini dapat berlangsung dengan baik,” katanya ketika ditemui media selepas menyaksikan raptai penuh berkenaan pada Khamis.
Dato Sri Julaihi menambah, jumlah kehadiran juga berkemungkinan melebihi 10,000 orang memandangkan kapasiti Padang Merdeka yang luas serta kemudahan jaringan perhubungan yang semakin baik.
Jelas beliau, pembangunan Lebuh Raya Pan Borneo, jalan pesisir dan jambatan baharu turut memudahkan pergerakan rakyat dari pelbagai kawasan di Sarawak untuk menghadiri sambutan tersebut.
“Dengan jaringan jalan raya yang semakin baik, kita yakin rakyat Sarawak daripada pelbagai suku kaum, agama dan budaya dapat bersama-sama memeriahkan sambutan pada sebelah pagi.
“Pada sebelah malam pula, Konsert Rakyat juga akan diadakan di sini (Padang Merdeka) sebagai tanda penghargaan kepada rakyat, selain meraikan hari lahir ke-80 TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak,” ujarnya lagi.
Dalam aspek keselamatan, beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta agensi keselamatan berkaitan berada dalam keadaan siap siaga bagi memastikan kelancaran sambutan.
“Semua anggota yang terlibat dalam menjaga keselamatan sentiasa bersedia pada setiap masa.
“Sarawak ialah sebuah wilayah yang sentiasa bersatu padu, aman, damai dan harmoni. InsyaAllah, kita dapat bersama-sama meraikan sambutan yang begitu penting dan besar ini dalam suasana yang aman, harmoni dan damai.
“Inilah budaya Sarawak yang kita sama-sama pertahankan,” tambah beliau.
Dato Sri Julaihi turut merakamkan ucapan selamat menyambut ulang tahun kelahiran ke-80 kepada TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak, sambil menyifatkan sambutan tersebut sebagai simbol perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
Hadir sama menyaksikan raptai penuh Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa tersebut ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-timbalan Menteri Bertanggungjawab, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Datuk Sebastian Ting, Datuk Henry Harry Jinep dan Datuk Martin Ben, Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak Dato' Sri Syed Hamzah Syed Paie serta Pengarah Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak (UPPANS) Datu Hamdan Sharbini.-EDISI UKAS