BPIT 2026 Perkukuh Sarawak Sebagai Destinasi Acara Sukan Antarabangsa
KUCHING: Pertumbuhan sukan pickleball berpotensi menjana limpahan ekonomi kepada sektor pelancongan dan perniagaan tempatan, selain memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai destinasi acara sukan serantau dan antarabangsa.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, penganjuran Borneo Pickleball International Tournament (BPIT) 2026 bukan sekadar platform pertandingan, malah membawa manfaat lebih luas kepada Kuching dan Sarawak menerusi kehadiran pemain serta pengunjung dari dalam dan luar negara.
“Pertumbuhan pickleball, oleh itu, mewujudkan peluang kepada sektor pelancongan dan perniagaan tempatan, selain memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai destinasi acara sukan serantau dan antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Borneo Pickleball International Tournament (BPIT) 2026 di PIKABOL Malaysia, Kuching, pada Khamis.
Katanya, pemain dan pengunjung yang hadir turut menyumbang kepada aktiviti ekonomi tempatan melalui penginapan di hotel, kunjungan ke restoran, penggunaan perkhidmatan tempatan serta pengalaman menikmati budaya dan layanan mesra Sarawak.
Menurutnya, pickleball yang masih baharu di Malaysia dan Sarawak telah berkembang pesat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan sukan berkenaan mula diperkenalkan di Miri pada 2019 sebelum berkembang ke seluruh negara.
Jelasnya lagi, Persatuan Pickleball Sarawak kini mempunyai lebih 850 ahli berdaftar, dengan aktiviti pickleball telah berkembang ke sembilan bahagian di seluruh Sarawak.
BPIT 2026 turut mencerminkan perkembangan komuniti sukan berkenaan apabila menarik kira-kira 570 pemain, 23 pasukan dan 147 pasangan, dengan penyertaan bukan sahaja dari Sarawak, malah Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Brunei serta pemain dari Indonesia dan Australia.
Beliau berkata perkembangan tersebut membuktikan pickleball mampu menjadi platform yang menghimpunkan pemain daripada pelbagai peringkat umur serta merentasi sempadan.
Penganjuran BPIT 2026 sekali gus membuka ruang lebih luas kepada Sarawak untuk menarik acara sukan bertaraf serantau dan antarabangsa, di samping memperluas jaringan komuniti sukan serta peluang ekonomi berkaitan pelancongan dan perkhidmatan tempatan.
BPIT 2026 berlangsung dari 7 hingga 12 Oktober 2026 di PIKABOL Malaysia, Kuching, dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) serta Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED).
Kejohanan itu turut mendapat sokongan penaja dan rakan kerjasama daripada pelbagai sektor dalam usaha memperkukuh penganjuran pickleball di Sarawak serta pembangunan komuniti sukan berkenaan.-EDISI UKAS