RM137,744 Peruntukan Khas Kepada 28 Penerima Di Mukah
MUKAH: Sebanyak RM137,744.30 Sumbangan Peruntukan Khas Fasa 3 Tahun 2026 disalurkan kepada 28 penerima di kawasan Mukah dengan penekanan supaya setiap peruntukan diurus secara berhemah dan mengikut prosedur yang ditetapkan.
Penyaluran peruntukan tersebut turut disusuli keperluan penerima mengemukakan dokumen rasmi permohonan serta laporan ringkas penggunaan bagi memastikan pengurusan kewangan mempunyai rekod yang jelas dan boleh dipantau.
Setiap permohonan perlu disertakan surat rasmi daripada persatuan, badan bukan kerajaan (NGO) atau Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), manakala penerima dikehendaki mengemukakan laporan penggunaan peruntukan kepada Pusat Khidmat Parlimen P.213 Mukah.
Keperluan berkenaan penting bagi memastikan peruntukan yang disalurkan digunakan mengikut tujuan kelulusan, selain memperkukuh aspek ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan bantuan kepada komuniti.
Sumbangan berkenaan merupakan peruntukan khas daripada Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Mukah, Dato Hanifah Hajar Taib yang diserahkan oleh Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat PmMukah, Almalhakim Norshidi di Pusat Khidmat Masyarakat Mukah, pada Rabu.
Daripada jumlah keseluruhan tersebut, peruntukan disalurkan kepada persatuan, JKKK dan NGO bagi membantu pelaksanaan aktiviti serta program bersama komuniti di kawasan Parlimen P.213 Mukah.
Dalam pada itu, penerima diingatkan supaya memastikan setiap perbelanjaan dibuat secara berhemah dan direkodkan dengan baik agar peruntukan yang diterima dapat dimanfaatkan selaras dengan tujuan yang ditetapkan.-EDISI UKAS