110 Usahawan Simunjan Didedah Kemahiran AI Perkasa Perniagaan
SIMUNJAN: Seramai 110 usahawan tempatan didedahkan dengan kemahiran kecerdasan buatan (AI) menerusi Program AI Powered Digital Marketing Training bagi memperkukuh keupayaan pemasaran digital, mengembangkan perniagaan dan memacu ekonomi luar bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris berkata, penguasaan teknologi digital amat penting bagi memastikan komuniti luar bandar tidak ketinggalan dalam perkembangan ekonomi digital.
Menurutnya, program tersebut memberi pendedahan kepada usahawan mengenai penggunaan platform AI, penghasilan kandungan digital serta automasi tugasan harian yang boleh dimanfaatkan dalam operasi perniagaan.
“Saya menyeru agar para peserta memanfaatkan sepenuhnya ilmu yang diperoleh ini dalam amalan perniagaan seharian, sekali gus bertindak sebagai ejen perubahan dengan berkongsi pengetahuan tersebut bersama komuniti setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Residen Bahagian Samarahan merangkap Pengerusi Majlis Pembangunan Usahawan Bahagian (MPUB) Samarahan, Rais Ahmat ketika program berkenaan di Dewan Setia Simunjan pada Khamis.
Menurut Awla, Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) terus komited membantu memperkasa usahawan luar bandar melalui pelbagai inisiatif pembangunan keusahawanan dan pendigitalan.
Katanya, sepanjang pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), seramai 248 usahawan di Bahagian Samarahan termasuk Simunjan telah menerima bantuan dengan implikasi kewangan melebihi RM2.8 juta.
Jumlah tersebut merangkumi RM2 juta menerusi Skim Go Digital kepada 200 penerima, RM474,000 melalui Skim e-SME kepada 10 penerima serta geran berjumlah RM358,131 kepada 38 penerima.
“Langkah ini membuktikan kesungguhan kerajaan dalam melahirkan usahawan luar bandar yang berdaya tahan, inovatif dan mampu bersaing dalam ekonomi digital, sekali gus meletakkan Simunjan sebagai model komuniti digital luar bandar yang dinamik di Sarawak,” katanya.
Sementara itu, Rais berkata, usahawan perlu melihat perkembangan teknologi AI sebagai peluang untuk memperluas pasaran serta meningkatkan keupayaan perniagaan.
Menurutnya, penggunaan teknologi digital perlu disertai penekanan terhadap kualiti dan keunikan produk tempatan bagi memastikan produk mempunyai nilai tambah sebelum dipasarkan ke peringkat lebih luas.
“Teknologi AI seharusnya dilihat sebagai satu peluang emas untuk berkembang, bukannya satu ancaman.
“Namun begitu, di sebalik keghairahan menggunakan platform digital seperti TikTok dan perisian AI, para peniaga diingatkan agar sentiasa menjaga kualiti dan menyuntik keunikan pada produk tempatan masing-masing sebelum ia dipasarkan ke peringkat global,” katanya.
Beliau turut menyeru pihak pentadbiran di peringkat akar umbi supaya lebih proaktif mengenal pasti dan menyampaikan maklumat mengenai pelbagai inisiatif serta bantuan kerajaan kepada masyarakat setempat.
Katanya, pendekatan turun padang dan penyebaran maklumat secara lebih meluas dapat membantu lebih ramai penduduk luar bandar mendapatkan akses kepada program pembangunan perniagaan yang disediakan kerajaan.
Program anjuran MINTRED dengan kerjasama MPUB Samarahan itu berlangsung selama dua hari dan disertai kira-kira 150 peserta, termasuk 110 usahawan tempatan.
Turut hadir wakil Setiausaha Tetap MINTRED Zainap Halip, wakil Penasihat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) MINTRED Awang Abdul Rahman Awang Hamid, Pegawai Daerah Simunjan Sanuyah Mohamad, Pegawai Daerah Sebuyau Ayuradiman Bujang dan penceramah program Edwin Engbat Gara.- EDISI UKAS