Sebahagian Lorong Jalan Tun Jugah Ditutup Selama Tiga Bulan Bagi Kerja Pembinaan KUTS
KUCHING: Pengguna jalan raya di sekitar Jalan Tun Jugah dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan laluan alternatif susulan penutupan sementara sebahagian lorong jalan berkenaan selama kira-kira tiga bulan bagi memberi laluan kepada kerja pembinaan projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS).
Sarawak Metro Sdn Bhd (Sarawak Metro) dalam satu kenyataan media memaklumkan, penutupan yang bermula pada jam 11 malam, Rabu (7 Oktober) itu dilaksanakan bagi membolehkan pergerakan dan pengoperasian mesin penggerudian cerucuk serta jentera berat lain di kawasan pembinaan.
Menurut kenyataan itu, kerja penggerudian cerucuk berkenaan merupakan sebahagian daripada pembinaan tiang penyokong bagi laluan bertingkat Transit Aliran Autonomi (ART) yang menghubungkan Stesen Tun Jugah (SR08) dan Stesen Upland (SR09) di bawah Laluan Merah KUTS.
"Sepanjang fasa pembinaan ini, beberapa bahagian Jalan Tun Jugah, khususnya berhampiran Jejambat Tun Jugah, akan ditutup sebahagiannya bagi membolehkan kerja pembinaan dilaksanakan," menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, jalan susur dari Jalan Tun Jugah menuju ke Jalan Laksamana Cheng Ho serta jalan susur dari Jalan Laksamana Cheng Ho menuju ke Jalan Tun Jugah akan dikecilkan kepada satu lorong.
Pelan pengurusan trafik berkenaan turut melibatkan penutupan satu lorong di persimpangan lampu isyarat Jalan Song sebelum kenderaan membelok ke kanan menuju ke Jalan Tun Jugah.
Bagaimanapun, sekurang-kurangnya satu lorong akan terus dibuka kepada pengguna jalan raya di setiap bahagian yang terjejas.
Kenderaan dari Jalan Song dan Jalan Laksamana Cheng Ho juga masih boleh memasuki Jalan Tun Jugah untuk meneruskan perjalanan menuju ke pusat bandar.
Sarawak Metro menjelaskan, pengurangan jumlah lorong yang boleh digunakan dijangka menyebabkan aliran trafik lebih perlahan dan berpotensi mengakibatkan kesesakan, khususnya pada waktu puncak.
Justeru, pengguna jalan raya dinasihatkan mematuhi papan tanda trafik, menggunakan laluan alternatif jika berkemungkinan dan mengelakkan kawasan pembinaan sekiranya tiada urusan penting.
Sebagai pelaksana projek KUTS, Sarawak Metro akan terus memantau aktiviti pembinaan serta keadaan trafik di kawasan terlibat bagi memastikan langkah sewajarnya diambil untuk meminimumkan gangguan kepada pengguna jalan raya.
Sarawak Metro turut memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul serta menghargai kesabaran dan kerjasama orang ramai sepanjang tempoh pelaksanaan kerja pembinaan berkenaan.
Sebarang perubahan terhadap lencongan jalan, penutupan lorong dan langkah pengurusan trafik akan dimaklumkan kepada orang ramai dari semasa ke semasa.
Untuk pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Hotline KUTS di talian 1300-88-5887 dari Isnin hingga Jumaat, jam 8 pagi hingga 5 petang, kecuali cuti umum atau menghantar e-mel kepada 555999@sarawak.gov.my atau info@mysarawakmetro.com.-EDISI UKAS