SIMUNJAN: Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan Jabatan Hutan Sarawak (FDS) terus memperkukuh kerjasama dalam pemuliharaan alam sekitar menerusi Program Penanaman Pokok Bersama SEDC di Hutan Simpan Sabal, di sini, pada Khamis.
Program tersebut menyaksikan penanaman 500 pokok daripada pelbagai spesies asli Sarawak, termasuk Belian, Meranti Bumbung dan Selangan Batu Pasir yang tersenarai dalam ‘IUCN Red List of Threatened Species’.
Pengarah Hutan Sarawak, Datu Hamden Mohammad berkata, penglibatan SEDC mencerminkan komitmen sektor korporat dalam menyokong usaha pemuliharaan serta pengurusan sumber hutan secara mampan.
“Usaha memulihara alam sekitar memerlukan kerjasama semua pihak termasuk kerajaan, NGO, sektor korporat dan masyarakat.
“Saya berharap program yang dilaksanakan pada hari ini dapat menjadi titik permulaan kepada lebih banyak kerjasama strategik antara SEDC dengan Jabatan Hutan Sarawak dalam memperkukuh usaha pemuliharaan, pemulihan dan kelestarian ekosistem hutan di Sarawak,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEDC, Rakayah Hamdan berkata, program tersebut merupakan hasil sesi libat urus antara SEDC dan Jabatan Hutan Sarawak bagi meneroka peluang kerjasama dalam bidang kelestarian alam sekitar.
Katanya, penyertaan SEDC membuktikan komitmen organisasi untuk menerapkan prinsip kelestarian melalui tindakan yang memberi manfaat kepada alam sekitar dan masyarakat.
“Walaupun jumlah tersebut hanyalah sebahagian kecil daripada sasaran keseluruhan, kami percaya setiap pokok yang ditanam merupakan pelaburan berharga demi kelestarian alam sekitar dan masa depan Sarawak,” katanya.
Program tersebut disertai kira-kira 100 peserta terdiri daripada warga SEDC, Jabatan Hutan Sarawak dan komuniti setempat.
Hadir sama Timbalan Pengarah Hutan (Konservasi Hutan dan Pembangunan), Happysupina Sait. -EDISI UKAS