RUU Makanan 2026: Sistem Keselamatan Makanan Perlu Dimodenkan
KUALA LUMPUR: Sistem keselamatan makanan negara perlu dimodenkan seiring perkembangan ekosistem perniagaan semasa tanpa membelakangkan peranan peniaga kecil dan industri mikro.
Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin berkata, Rang Undang-Undang (RUU) Makanan (Pindaan) 2026 wajar disokong bagi memastikan kawalan keselamatan makanan kekal relevan dalam menangani cabaran semasa.
Beliau menyambut baik pengenalan Seksyen 11A yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda sehingga RM500,000 bagi kesalahan berkaitan, selain Seksyen 8A(1) yang memberi kuasa kepada pegawai untuk mengakses maklumat dan data digital.
Namun, katanya, pelaksanaan undang-undang itu perlu diseimbangkan dengan pendekatan bimbingan dan kesedaran, bukan semata-mata bersifat punitif terhadap peniaga kecil tempatan.
“Kita tidak boleh menyalahkan mereka, sebaliknya kita perlu membimbing, memberi kesedaran serta panduan pemprosesan, pembungkusan dan pengedaran makanan yang selamat mengikut peraturan sebelum menguatkuasakan pindaan ini.
“Tidak adil jika didikan itu didahului oleh tindakan punitif,” katanya ketika menyertai perbahasan di Dewan Rakyat, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Datuk Willie menggesa Kerajaan Persekutuan mengadakan perbincangan khusus bersama Kerajaan Negeri, khususnya Pejabat Peguam Besar Negeri (SAG) Sabah dan Sarawak, memandangkan aspek keselamatan makanan terletak di bawah Senarai Bersama.
Bagi memperkukuh kerangka keselamatan makanan negara, beliau turut mencadangkan pengukuhan sistem kebolehkesanan digital dengan memperluas platform Food Safety Information System of Malaysia (FoSIM) kepada National Food Safety Data and Traceability System bagi merekod profil digital produk berisiko tinggi.
Beliau berkata, sistem penarikan balik secara mandatori juga perlu diwujudkan bagi memastikan produk makanan berbahaya dapat ditarik balik dari pasaran secara tersusun tanpa bergantung sepenuhnya kepada tindakan sukarela pengeluar.
Selain itu, beliau menekankan prinsip tanggungjawab utama pengeluar dalam memastikan keselamatan produk yang dipasarkan serta menggesa tindakan lebih tegas terhadap kesalahan penipuan makanan yang disengajakan.
Sebagai langkah jangka panjang, Datuk Willie mencadangkan pembentukan Rangka Kerja Keselamatan Makanan Malaysia 2030 melalui semakan menyeluruh Akta Makanan 1983 berteraskan lima prinsip utama iaitu Prevent, Trace, Test, Recall dan Enforce.
Dalam masa sama, beliau turut menyarankan agar Malaysia meneliti amalan terbaik antarabangsa termasuk dari Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, China dan Singapura untuk disesuaikan dengan acuan tempatan bagi membentuk sistem kawal selia keselamatan makanan yang lebih moden, berkesan dan inklusif.-EDISI UKAS