Perkasa Peranan KMKK Dalam Pemeliharaan Adat Iban, Mahkamah Bumiputera
SIBU: Institusi Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), khususnya Penghulu, Pemanca dan Temenggong perlu terus diperkasa bagi memastikan kelangsungan Adat Iban serta memperkukuh peranan mereka dalam sistem Mahkamah Bumiputera di Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pemimpin masyarakat di peringkat akar umbi bukan sahaja perlu menguasai pengetahuan berkaitan adat, malah memahami prinsip, rasional dan konteks pelaksanaannya agar warisan tersebut terus terpelihara serta dapat diwariskan kepada generasi akan datang.
“Kita mahukan pemimpin masyarakat yang bukan sahaja mengetahui adat, tetapi juga memahami prinsip, rasional serta konteks adat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Perasmian Simposium Adat Iban 2026 di sini pada Khamis.
Beliau menambah, kefahaman mendalam terhadap adat amat penting bagi membolehkan KMKK menjelaskan pengertian dan kepentingannya kepada generasi muda, sekali gus menjadi penghubung antara amalan adat tradisional dengan perubahan kehidupan masyarakat moden.
Sehubungan itu, beliau berharap Simposium Adat Iban 2026 dapat menjadi platform untuk memperincikan peranan dan tanggungjawab KMKK dalam sistem Mahkamah Bumiputera yang bakal dinaik taraf.
Katanya, pandangan serta maklum balas daripada pelbagai pihak berkepentingan juga perlu diambil kira dalam merangka garis panduan baharu yang bersesuaian dengan keperluan adat dan realiti semasa masyarakat.
Dalam pada itu, Datuk Amar Douglas menegaskan bahawa adat dan undang-undang tidak seharusnya dilihat sebagai dua elemen yang terpisah atau saling bertentangan, sebaliknya perlu difahami secara menyeluruh berdasarkan konteks sejarah, kehidupan masyarakat dan kerangka perundangan yang berkuat kuasa.
Jelas beliau, Sarawak mempunyai pengalaman luas dalam mengurus hal ehwal adat masyarakat pribumi, justeru sebarang usaha memperkukuh institusi adat perlu mengambil kira hubungan erat antara warisan budaya, kehidupan masyarakat dan sistem perundangan negeri.
Turut hadir Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai, Pemegang Amanah Yayasan Kebudayaan Dayak, Datuk Patinggi Tan Sri Leonard Linggi Jugah, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera), Datuk Jefferson Jamit Unyat, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Dr Penguang Manggil, Penasihat di Jabatan Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah), Tan Sri William Mawan Ikom, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Felicia Tan Ya Hua, Ketua Majlis Adat Istiadat Sarawak, Datu Dr Neilson Ilan Mersat dan Setiausaha Majlis Adat Istiadat Sarawak, Elsie William.-EDISI UKAS