370 Rumah Dibaik Pulih Menerusi PPRMS, 1,238 Penduduk Pujut Terima Manfaat
MIRI: Sebanyak 370 rumah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pujut telah dibaik pulih menerusi Program Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin Sarawak (PPRMS), sekali gus memberi manfaat kepada 1,238 penduduk dalam usaha meningkatkan keselamatan dan keselesaan kediaman golongan berpendapatan rendah.
Terbaharu, sebanyak 20 rumah di sekitar Jalan Anting, Krokop dan Piasau Jaya siap dibaik pulih menerusi program berkenaan yang diselaraskan oleh Pusat Khidmat Masyarakat Pujut di bawah pimpinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut merangkap Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang.
Kerja baik pulih tersebut melibatkan pembaikan komponen asas kediaman termasuk bumbung, dinding, tingkap dan siling bagi memastikan rumah yang didiami lebih selamat, selesa serta sesuai untuk diduduki.
PPRMS merupakan antara inisiatif Kerajaan Sarawak yang memberi tumpuan kepada usaha membantu golongan berpendapatan rendah dan keluarga memerlukan, khususnya warga emas, orang kurang upaya (OKU) serta ibu atau bapa tunggal yang berdepan kekangan kewangan untuk membiayai kos pembaikan rumah.
Di DUN Pujut, program berkenaan dilaksanakan secara berterusan sejak 2022 melibatkan kawasan Krokop, Piasau dan Pujut.
Pelaksanaan program itu diteruskan bagi memastikan lebih ramai penduduk yang layak mendapat bantuan membaik pulih kediaman, dengan keutamaan diberikan kepada keluarga yang benar-benar memerlukan.-EDISI UKAS