Majlis Kesyukuran Sempena Hari Lahir Ke-80 TYT Sarawak Berlangsung Penuh Kesyukuran
KUCHING: Majlis Kesyukuran sempena Sambutan Perayaan Hari Lahir Ke-80 Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berlangsung dalam suasana penuh kesyukuran di Masjid Jamek Negeri Sarawak, di sini pada Khamis.
Majlis berkenaan menghimpunkan barisan kepimpinan negeri, tetamu kenamaan serta masyarakat setempat bagi meraikan sambutan ulang tahun kelahiran TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
Ketibaan Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi disambut oleh barisan kepimpinan negeri serta tetamu yang hadir.
Turut hadir Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg bersama anakanda, Dayang Norjihan.
Majlis dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah, diikuti bacaan Yasin yang dipimpin oleh Imam Besar Sarawak, Sahibul Fadilah Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.
Acara diteruskan dengan alunan zikir marhaban oleh gabungan kumpulan zikir dari Bahagian Kuching, disusuli bacaan doa kesyukuran yang turut dipimpin oleh Imam Besar Sarawak.
Majlis kemudiannya diakhiri dengan solat Isyak berjemaah serta jamuan makan malam.
Turut hadir, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Sambutan Perayaan Hari Lahir Ke-80 TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Koordinator Projek Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Agama Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha, ketua-ketua jabatan serta jemputan lain.-EDISI UKAS