Subsidi RM209 Juta Bagi Perkhidmatan Penerbangan Pedalaman
KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan akan terus menyalurkan subsidi sebanyak RM209 juta bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan penerbangan pedalaman yang memberi manfaat kepada kira-kira 820,000 penumpang, meskipun MASWings kini telah diserahkan kepada Sarawak dan dijenamakan semula sebagai AirBorneo.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, penyerahan MASWings kepada Sarawak merupakan antara 12 perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang telah dimuktamadkan di bawah pentadbiran Kerajaan Persekutuan.
“MASWings diserah kepada Sarawak menjadi AirBorneo, sementara Kerajaan Persekutuan masih menyediakan 209 juta ringgit sebagai subsidi yang memanfaat 820 ribu penumpang di Pedalaman,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan MADANI 2027 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Dalam pembentangan sama, beliau menegaskan bahawa pelaksanaan MA63 perlu dilihat sebagai tanggungjawab nasional bagi memastikan komitmen yang dipersetujui terus dilaksanakan.
Selain penyerahan MASWings, beliau turut menyenaraikan pemindahan pemilikan Pelabuhan Bintulu kepada Sarawak serta pemberian perwakilan tetap kepada Sabah dan Sarawak dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri sebagai antara perkara yang telah dimuktamadkan.
Kesinambungan subsidi penerbangan pedalaman itu penting bagi memastikan penduduk di kawasan terpencil terus menikmati akses pengangkutan udara, khususnya bagi urusan harian, perkhidmatan asas dan kesalinghubungan antara kawasan.-EDISI UKAS